
Laporan dan foto : Pai Syahira Yahya / Ahmad Suhailan Mat Piah
PEKAN, 12 Feb (Malaysia Aktif) – Seramai 229 peneroka melahirkan rasa terharu selepas menerima Suratan Hak Milik dalam Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Tanah Peneroka Felda Chini 3 dan 5 di Dewan Semai Bakti Chini 3, Pekan.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob dan dihadiri lebih dari 700 warga Felda Chini.
Menurut Pengurus Felda Chini 3, Misbani Nazir, “Penganugerahan Suratan Hak Milik bagi peringkat ketiga ini melibatkan 50 peneroka daripada jumlah keseluruhan 542 peneroka yang telah pun menerimanya secara berperingkat bermula tahun 2014,”.
“Manakala Suratan Hak Milik kepada peneroka Felda Chini 5 terdiri daripada empat peringkat bermula tahun 2006 melibatkan 179 peneroka daripada 385 jumlah keseluruhan” tambah beliau.
Bagi pasangan Alias Nordin dan Azizah Abdul Hamid ketika ditemui menyifatkan kesabaran penantian selama 33 tahun berbaloi apabila mendapat Surat Hak Milik seluas 10 ekar.
“Rasa bersyukur, terharu dan bangga hari ini dapat geran hak milik dan kami merancang untuk teruskan projek tanaman,” Ketika ditemui menceritakan pengalaman membesarkan lapan orang anak di felda.
Bagi generasi kedua felda, Mohd Mustafa Mohd Hasein berkata beliau terharu dapat melihat ibunya Azizah Harun yang merupakan antara penerima Suratan Hak Milik pada hari ini.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati apabila mendengar sendiri penerangan tentang Felda oleh Menteri Besar dan berasa terharu menjadi anak felda,” ujar Mustafa.
Sehingga kini sebanyak 87% Suratan Hak Milik telah diserahkan kepada peneroka di seluruh Malaysia yang telah cukup syarat penganugerahan.
Turut hadir, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Sri Abu Bakar bin Harun.
- MRR