Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Pertukangan Besi Perlukan Kreativiti dan Kesabaran Tinggi

By 14 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Siti Fazilah Derahman (Pasir Mas)

PASIR MAS, 14 Feb (Malaysiaaktif) – Ramai yang tidak menyedari pertukangan besi memerlukan kesabaran yang tinggi dan kreatif dalam menghasilkan kerja-kerja besi ini. Kreativiti dan ketekunan membuat kerja-kerja besi seperti pagar rumah, sengkuap, jeriji besi dan garaj sangat menguji kesabaran apatah lagi untuk menuruti kehendak pelanggan.

Bagi Mohd Sukri Nordin, 30, yang mula mengusahakan perniagaan pertukangan besi sejak lapan tahun lalu di Tendong, di sini berkata untuk menguasai kemahiran pembuatan kerja besi ini beliau mendapat latihan di Institut Kemahiran Mara (IKM), Besut dalam bidang Kimpalan selama tiga tahun.

Pintu pagar yang telah disiapkan Sukri.

Pintu pagar yang telah disiapkan Sukri.

“Kerja pertukangan besi ini juga memerlukan kesabaran yang tinggi kerana setiap kerja yang dihasilkan mengambil masa lebih dari seminggu malahan berbulan bergantung kepada kerja yang dibuat.

“Kebiasaan saya mendapat permintaan daripada pelanggan untuk membuat pagar rumah dan harga ditentukan melalui ukuran saiz lebar, panjang serta rekaan bentuk yang dikehendaki oleh pelanggan,” katanya kepada Malaysiaaktif.

Tambah bapa kepada tiga anak ini, beliau memulakan perniagaan ini dengan mendapat suntikan modal daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sebanyak RM10,000 dan pendapatannya dalam sebulan adalah bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Alhamdulillah, perniagaan secara kecil-kecilan dan turut dibantu oleh seorang pekerja dapat menampung kehidupan saya sekeluarga,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Syazwan Salleh, 53, salah seorang pelanggan Sukri, amat berpuas hati dengan ketelitian hasil mutu kerja yang dibuat menyebabkan beliau sering mendapatkan perkhidmatan daripadanya.

– SH

 

Tinggalkan komen anda