Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

PKK Jalin Kolaborasi Tingkat Kebolehpasaran Graduan

By 14 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan



Laporan & Foto Oleh  : Siti Mariam Aziz Rashid (Sabah)

 

 

KOTA KINABALU, 13 Feb. (Malaysiaaktif) – Politeknik Kota Kinabalu (PKK) terus komited melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran dengan memiliki kemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri hari ini.

Bagi memastikan graduan mampu memenuhi kehendak pasaran tersebut PKK terus melipat gandakan usaha dengan memeterai kolaborasi bersama tujuh industri pelbagai bidang dalam Majlis Menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi Antara PKK Dan Industri di sini pada isnin.

Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Zainab Othman berkata antara tujuh industri yang terlibat adalah industri dalam bidang pelancongan dan hospitaliti iaitu Sutera Sanctuary Lodge, The Klagan Regency Hotel, Borneo Eco Tours & Sukau Rainforest Lodge, Hotel Sixty-3, Thai Odyssey Sdn. Bhd. dan industri makanan iaitu Adabi Cawangan Sabah.

Zainab dan Jeromy Yap menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi sambil disaksikan oleh Dullah (kiri), Mohd. Sahran (kanan) dan Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Wan Norliana Wan Sulong (berdiri kanan)

Zainab dan Jeromy Yap menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi sambil disaksikan oleh Dullah (kiri), Mohd. Sahran (kanan) dan Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Wan Norliana Wan Sulong (berdiri kanan)

“Kesemua industri ini adalah di bawah kelolaan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, PKK.

“Turut menjalinkan kerjasama adalah Intrasource (M) Sdn Bhd iaitu sebuah agensi pekerjaan yang beroperasi di Johor Baharu, di bawah kelolaan Unit Industri Korporat dan Kebolehpasaran (CISEC), PKK,” jelasnya.

Zainab berkata lagi, menerusi jalinan kerjasama tersebut kedua-dua pihak bersetuju menjalinkan kerjasama dan perkongsian ilmu, kepakaran dan aspek lain dalam memantapkan proses pengajaran serta pembelajaran di institusi pengajian berkenaan.

“PKK sentiasa bekerjasama rapat dengan industri di negeri ini dengan matlamat ingin memastikan graduannya tidak berhadapan dengan masalah mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Bagi memastikan graduan yang dilahirkan adalah berkemahiran dan menepati kehendak industri, penglibatan dan kerjasama pemain industri adalah amat diperlukan.

“Usaha ini penting bagi memastikan kualiti pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) khususnya di Politeknik Kota Kinabalu ini terus dapat dipertingkatkan,” jelas Zainab lagi.

Justeru melalui jalinan kolaborasi ini, pihak PKK bersedia mendengar permintaan dan keperluan rakan industri bagi pemantapan program akademik.

“Seterusnya dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan tercapai selaras dengan matlamat PKK untuk melahirkan graduan yang mampu memenuhi kehendak industri,” ujarnya.

Tambahnya, berdasarkan rekod terkini, peratusan kebolehpasaran graduan PKK mencapai tahap 93.5% dimana hampir keseluruhannya memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Pencapaian ini adalah hasil daripada kerjasama industri yang dijalankan,” katanya.semasa menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi bagi pihak PKK bersama dengan ketua-ketua agensi mewakili industri masing-masing.

Hampir 40 wakil industri dan pegawai kanan PKK turut hadir pada majlis bersejarah tersebut.

Zainab (duduk lima dari kanan) bersama dengan wakil-wakil industri dan pengurusan tertinggi Politeknik Kota Kinabalu

Zainab (duduk lima dari kanan) bersama dengan wakil-wakil industri dan pengurusan tertinggi Politeknik Kota Kinabalu

Majlis menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi berkenaan turut disaksikan Timbalan Pengarah Akademik PKK, Dullah Muluk dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Mohd. Sahran Mohidin, serta wakil-wakil industri dan pengurusan tertinggi PKK.

Dengan termeterainya kerjasama bersama tujuh industri tersebut, PKK kini telah mempunyai 66 jalinan kolaborasi bersama industri dari pelbagai bidang yang berkaitan dengan program-program yang dijalankan di PKK tersebut.

 

  • MRR

Tinggalkan komen anda