Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Beri Peluang Produk Tempatan Dalam KR1M – Jainab

By 2 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan Oleh : Fauzrina Hj Bulka / Foto : Azman Jumat (Sabah)

 

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid berharap agar usahawan tempatan diberi peluang untuk memasarkan produk mereka di dalam Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M).

“Saya sudah berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) Sabah untuk menyampaikan hasrat ini kepada menteri.

“Ramai usahawan kami di Sabah yang boleh diketengahkan, saya akan sediakan senarai usahawan negeri ini di bawah pelbagai jabatan dan kementerian seperti Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) kerana ramai yang berpotensi,” ujar Jainab ketika ditemui pada selasa.

KR1M yang distruktur semula sebagai KR1M 2.0 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Temerloh, Pahang pada 4 Februari lalu.

Mengulas lanjut katanya, kekangan usahawan tempatan ialah mereka tidak mampu untuk membuka sebuah premis, tetapi jika mendapat bantuan dari pelbagai pihak, premis yang kecil sahaja cukup untuk memasarkan produk mereka.

“Kita mengalu-alukan pembukaan banyak KR1M di Sabah,  tidak hanya tertumpu pada barangan kering tetapi juga barangan basah kerana ada sesetengah usahawan yang turut mengusahakan sayuran organik.

“Dengan cara itu juga, kita dapat mengurangkan kos untuk berbelanja besar dengan membawa produk daripada Semenanjung,” jelasnya.

Menurut Jainab, kekurangan produk tempatan hanyalah daripada segi label produk, logo halal, pembungkusan dan kod bar, tetapi sebagai Timbalan Pengerusi Kota Kinabalu Industrial Park(KKIP), beliau cuba membantu atasi masalah tersebut mengikut piawaian Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sabah.

“Keperluan adanya kod bar ialah kita ingin mengelakkan manipulasi harga daripada orang tengah atau pihak ketiga.

“Dengan kurangkan orang ketiga, ramai usahawan dapat dibantu dan usahawan juga dapat membantu orang ramai.

“Saya rasa jika kita buat begitu, perniagaan tersebut akan berada dalam kitaran yang sama dan akhirnya semua akan mendapat kebaikannya,” ujarnya.

Harapan Jainab juga barangan yang dipasarkan dalam KR1M 2.0 adalah berkualiti dan boleh didapati dengan harga yang rendah, KPDNKK juga sering membantu rakyat dengan wujudnya Friends of KPDNKK dan aplikasi Price Checker.

“Saya juga berharap Jabatan Penerangan Sabah dapat membantu kami dengan menyampaikan info-info serta cabaran-cabaran yang akan dihadapi kepada klien mereka dengan harapan cabaran tersebut dapat ditukarkan menjadi peluang.

“Bagi saya tidak ada satu cabaran yang tidak boleh ditangani, jika kita kekurangan barangan, selesaikannya dengan menambah barang, jika kita mempunyai barangan yang lebih, kita boleh kurangkan harga, jangan jadikan kekurangan itu sebagai satu masalah,” katanya.

Jainab juga merancang untuk menjemput Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam pembukaan Kedai Rakyat pertama di Kampung Tebobon pada pertengahan Mac depan.

“Saya berharap dia dapat lihat visi kita untuk melibatkan usahawan tempatan dalam projek ini dan berharap warga Sabah akan turut mendapat tempiasnya,” kata Jainab.

 

-MRR

 

Tinggalkan komen anda