
Laporan & Foto Oleh : Mohd Zahid Bin Othman
GELANG PATAH, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Sememangnya kaum lelaki mempunyai peranan utama memberi nafkah kepada keluarga namun wanita yang sudah berkahwin mampu menjadikan kehidupan keluarga mereka lebih baik jika mempunyai keupayaan dari segi kewangan dan ekonomi.

Mini Karnival Usahawan Agronita Negeri Johor 2018 yang turut diadakan beri peluang penduduk setempat membeli barangan dengan harga lebih murah dari harga pasaran.
Seminar Agronita Peringkat Negeri Johor 2018 diadakan bertujuan untuk memupuk minat dan pengetahuan kepada komuniti wanita di negeri Johor untuk terlibat dalam sektor pertanian dan asas tani.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman berkata, beliau percaya wanita boleh diperkasa dalam bidang pertanian sebagai satu kerjaya pilihan yang boleh memberi pendapatan tinggi.
“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA) dibawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah mengambil inisiatif untuk menerajui usaha-usaha memperkasakan wanita bagi menjadikan mereka golongan yang berdikari dari segi kewangan dan ekonomi,” jelasnya selepas merasmikan Majlis Perasmian Seminar Agronita Peringkat Negeri Johor 2018, di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, seminar diadakan ini selaras dengan hasrat Kerajaan dalam Tahun Memperkasakan Wanita (TMW) 2018 untuk menyediakan wanita di negara ini dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Tajuddin merasmikan Program Jualan Jimat Belanja Dapur dengan menawarkan kepada penduduk produk harga murah yang berkualiti tinggi.
Pada masa sama, Mini Karnival Usahawan Agronita yang dilaksanakan serentak dengan Seminar Agronita Negeri Johor 2018 turut mendapat perhatian Tajuddin dan pengunjung yang datang.
Antara aktiviti yang diadakan adalah Program Jualan Jimat Belanja Dapur anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor yang memberi peluang kepada penduduk setempat mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih rendah dari harga pasaran.
Pengarah FAMA Negeri Johor, Zainal Abidin Yang Razali berkata, melalui program ini, pengguna bukan sahaja dapat membeli barangan dengan harga yang murah malah produk yang dijual juga berkualiti tinggi, selain mendidik rakyat berbelanja secara berhemat selaras dengan konsep “Berkualiti Tinggi Dengan Harga Mampu Beli”.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A. Malik, Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Nusajaya, Zaini Abu Bakar.
– MRR