Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Pecah Rekod MBOR Dalam Batik Lukis Terpanjang

By 24 Mac 2018Tiada komen3 minit bacaan
       Laporan dan foto: Ahmad Faizal Jamil (Sabah)

KENINGAU, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Kumpulan Yayasan Sabah (YS) melalui Pusat Kraftangan Sabah (PKS) bersama enam buah sekolah di daerah ini telah berjaya memecahkan rekod di dalam The Malaysia Books Of Records (MBOR) dalam Batik Lukis Terpanjang di Malaysia.

Batik lukisan tangan tersebut disiapkan dengan kerjasama Sekolah Menengah(SM) St. Francis Xavier, SMK Gunsanad 1, SMK Gunsanad 2, SM Ken Hwa, SMK Keningau 2 dan Kolej Vokasional Keningau serta Persatuan Seni Visual Sabah, Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF).

Hasil batik lukis sepanjang 2583.5 meter yang berjaya memecahkan rekod MBOR.

Hasil batik lukis sepanjang 2583.5 meter yang berjaya memecahkan rekod MBOR.

Menurut Pengarah YS, Datuk Sapawi Ahmad semua pelajar berjaya memecahkan rekod tersebut dengan menghasilkan kain batik lukisan tangan sepanjang 2583.5 meter dalam tempoh lima hari bermula 16 hingga 20 Mac lepas.

“Batik Lukisan Tangan Terpanjang di Malaysia sebelum ini telah direkod pada tahun 1996 di Johor Bahru dengan lukisan batik sepanjang 2,020 meter juga dalam tempoh lima hari.

“Ini merupakan satu kejayaan yang sangat bermakna kerana bukan sahaja kita menampah nama dalam MBOR, malah dapat membuktikan bahawa negeri Sabah juga setanding dengan negeri-negeri pengeluar batik terkenal di Malaysia dan luar negara,”ujarnya.

Jelasnya, ini juga merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan minat dan mengasah bakat anak-anak muda dalam kraftangan, terutama sekali dalam seni mencanting batik.

Menurut Sapawi, YS turut mengurus kemudahan pendidikan tertiari melalui KTYS dan UCSF agar lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang untuk mendapat dan menikmati kemudahan pendidikan di negeri ini.

Secara keseluruhan, kesemua program YS di Zon Pedalaman Utara telah memberi manfaat kepada lebih 190 ribu masyarakat tempatan, dengan perbelanjaan lebih RM7.9 juta bagi tempoh 2003 hingga 2017.

Beramah mesra dengan pengunjung yang menghadiri Roadshow.

Beramah mesra dengan pengunjung yang menghadiri Roadshow.

Sapawi berkata demikian ketika berucap dalam Roadshow Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) Peringkat Zon Pedalaman Utara yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman pagi tadi.

Menurut Musa, setiap jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di negeri ini khususnya di Kawasan Pedalaman.

“Ini terbukti dengan perkhidmatan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak atau Mobile CTC yang dianggotai oleh Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan dan agensi yang terbabit memberi peluang kepada masyarakat di luar bandar berurusan dan menyelesaikan masalah mereka,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YS.

Musa (tengah)menyerahkan sijil penyertaan pameran kepada Pegawai Penerangan Daerah, Henry Nurdin (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Pairin(dua dari kanan) dan Sapawi(kanan).

Musa (tengah)menyerahkan sijil penyertaan pameran kepada Pegawai Penerangan Daerah, Henry Nurdin (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Pairin(dua dari kanan) dan Sapawi(kanan).

YSBR yang bertemakan Festival Usahawan Niaga Industri Kraf (UNIKFest) Kerjaya & Mobile CTC berlangsung selama tiga hari bermula 22 Mac lepas di Dewan Masyarakat Keningau dihadiri kira-kira 15,000 masyarakat pelbagai kaum dari pelusuk pedalaman.

Mengulas lanjut mengenai fungsi Yayasan Sabah menurut Musa, sejak ditubuhkan pada tahun 1966 ia telah banyak memberi manfaat kepada golongan belia di negeri ini.

“Malah ada pelajar yang melanjutkan pengajian tinggi di luar  negara dan dalam negara dibiayai dengan biasiswa Kerajaan Negeri melalui Yayasan Sabah.

“Objektif YSBR adalah menyampaikan  maklumat kepada masyarakat mengenai peluang kerjaya yang wujud menerusi pelaksanaan pelbagai jenis program.

“Selain itu, ia memberi pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai peluang-peluang dalam bidang keusahawanan.

“Ia juga turut memberi ruang kepada para pemimpin untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat serta mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai jenis program secara bersepadu,”kata Musa.

Tambahnya lagi, ia turut menyampaikan maklumat berkaitan rancangan pembangunan kerajaan kepada rakyat disamping mengukuhkan rangkaian kerjasama di antara jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Pairin Kitingan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

– MRR

Tinggalkan komen anda