
Laporan: Genda Sating & Nuratirah Abdullah Foto : Razali Ihi (Sarawak)
KUCHING, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Pemimpin sesebuah parti perlu mempunyai hala tuju yang jelas dan berubah mengikut peredaran masa jika ingin terus diterima pengundi di semua peringkat umur.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata pengundi masa depan adalah generasi yang pintar, mahir dalam teknologi dan tahu apa dikehendaki masyarakat.
“Jika kita ingin kekal relevan kita harus ada hala tuju yang jelas dan berubah mengikut peredaran masa. Jika kita tidak mempunyai hala tuju yang jelas maka keyakinan pengundi akan goyah.
“Justeru, kita hendaklah melihat keperluan semua aspek, bukan hanya perlu memenuhi aspirasi golongan tua, malah juga golongan muda,” ujar Abang Johari ketika merasmikan Majlis 3 dalam 1 sempena Pemukiman Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PWPBB) di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Pada majlis yang sama, Abang Johari turut menyempurnakan Pelancaran Pelan Strategik Pergerakan Wanita PBB 2018- 2020, Pelancaran Jentera PRU 14 Pergerakan Wanita PBB Sarawak serta penjenamaan semula Skuad Sayang kepada Skuad Kasih Sayang (SKS+1).
Terdahulu ketika berucap pada majlis yang sama, Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah turut memaklumkan perancangan strategik PWPBB menetapkan ‘Pergerakan Wanita menjadi Nadi Akar Umbi PBB’ sebagai visi utama parti.
“Pemukiman kali ini juga menekankan dalam membolehkan PWPBB menjadi Nadi PBB pada peringkat akar umbi, kita perlu memperkasa dan mengupaya parti supaya berwibawa dan cekap, terus relevan dan berkesinambungan.
“Selain itu, sempena pemukiman ini juga turut diadakan Majlis Apresiasi Mantan Ketua Wanita serta empat ahli Majlis Tertinggi Wanita yang telah mengundur diri bagi memberi laluan kepada muka-muka baharu meneruskan perjuangan parti,” kata Fatimah.
Seramai 212 peserta daripada pemimpin wanita di 81 cawangan turut menghadiri pemukiman dua hari ini yang berakhir Sabtu lalu.
Turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang dan beberapa pemimpin tertinggi Wanita dan Pemuda PBB Sarawak.
– SH