Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri Sembilan

Adat Pepatih Tinggalan Warisan Minangkabau

By 12 Mac 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan : Hamidah Md Drus          Foto : Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 12 Mac (Malaysiaaktif) –
Adat pepateh merupakan adat warisan yang dipusakai daripada nenek moyang orang-orang Melayu di Negeri Sembilan yang dibawa oleh orang Minangkabau.

Menurut Abdul Khalid Ujang, 56, wakil bagi Datuk-datuk Adat, berkata Masyarakat Adat Pepatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu perut, suku dan luak. Perut adalah unit sosio-politik yang kecil anggotanya berasal dari moyang (keturunan perempuan) yang sama.

“Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di satu perkampungan atau kawasan yang sama diketuai oleh seorang ketua digelar buapak.

“Kumpulan kedua ialah suku yang dibentuk oleh beberapa perut diketuai oleh seorang ketua yang digelar Datuk Lembaga,” katanya yang ditemui sempena Istiadat Kerjan di Kampung (Kg.) Seri Pilah, baru-baru ini.

Terdapat dua belas suku dalam adat pepatih iaitu suku Biduanda, Batu Hampar, Mungkal, Sri Lemak, Paya Kumbuh, Tiga Nenek, Sri Melenggang, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka dan Tiga Batu.

Adat istiadat pengisytiharan dilakukan setelah selesai dimandikan dan dibedak di rumah telapak istiadat.

Adat istiadat pengisytiharan dilakukan setelah selesai dimandikan dan dibedak di rumah telapak istiadat.

Menurut Khalid, kumpulan ketiga ialah Luak yang merupakan unit kawasan pentadbiran dari segi adat yang diketuai oleh Undang.

“Terdapat empat luak utama iaitu Luak Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu.

“Salah satu adat yang masih diamalkan ialah Istiadat Kerjan yang bermaksud mendirikan kerajaan. Istiadat Kerjan merupakan satu hebahan dan pemberitahuan bahawa seorang Penghulu atau Lembaga telah dilantik dan dizahirkan dengan sempurnanya.

“Sistem ini menggambarkan satu sistem demokrasi penuh unik digunakan sejak zaman berzaman-zaman. Setiap keputusan yang dibuat adalah mengikut keputusan majoriti,” tambahnya lagi.

Baru-baru ini Istiadat Kerjan Datuk Perda Maharaja Suku Tiga Batu Luak Ulu Muar telah diadakan. Mengikut adat perpatih, selepas diumumkan kekosongan jawatan Datuk Lembaga, Tok-tok Adat perlu memilih ‘mato bonih’ iaitu waris dari ‘perut’ atau Suku Tiga Batu Luak Ulu Muar.

Datuk Peda Maharaja Ahmad Mohd Akhir (kanan) melafaz ikrar sebagai Datuk Lembaga yang baharu.

Datuk Peda Maharaja Ahmad Mohd Akhir (kanan) melafaz ikrar sebagai Datuk Lembaga yang baharu.

Menurut Khalid, Istiadat Kerjan ini dimulakan dengan bakal Datuk Lembaga dimandikan dan dibedak di rumah telapak Istiadat berhadapan rumah Ibu Soko di Kg. Seri Pilah.

“Kemudian Datuk Lembaga ini diarak dan diiringi oleh Datuk-datuk adat yang membawa alat-alat kebesaran dalam upacara kerjan ke rumah ibu soko. Setelah bakal Datuk Lembaga naik ke dalam balai, maka bermulalah adat istiadat pengisytiharan.

“Sebaik sahaja lafaz ikrar taat setia dibaca oleh bakal Datuk Lembaga maka rasmilah Ahmad Mohd Akhir menjadi Datuk Lembaga yang baharu yang membawa gelaran Datuk Peda Maharaja,” jelasnya lagi.

Sementara itu Datuk Peda Maharaja Ahmad Mohd Akhir berkata beliau merasa gembira dan bangga kerana telah diberi kepercayaan untuk memimpin Suku Tiga Batu di sini.

“Selagi hayat dikandung badan, saya akan cuba memelihara adat pepatih agar terus diamalkan khususnya bagi generasi muda sekarang.

“Bak kata bidalan, ‘adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah, kuat adat tak gaduhkan hukum, kuat hukum tak gaduhkan adat, ikut hukum muafakat, ikut adat muafakat,” katanya setelah ditabalkan sebagai Datuk Lembaga yang baharu, di sini.

-SH

Tinggalkan komen anda