Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantanPutrajaya

CTU-NBOS Beri Manfaat Kepada Lebih 450,000 Penduduk

By 5 April 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Syed Hisham Shah & Irwan Shah Daud (Putrajaya)

BACHOK, 5 April (Malaysiaaktif) – Program Negaraku: Menghubung Menyatu (CTU) yang dijayakan melalui Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) memberi manfaat kepada lebih 450 ribu penduduk di seluruh negara.

Melalui Jabatan Penerangan, CTU-NBOS terus dirancakkan dengan program Kembara Jalinan Kasih (KJK) bagi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Bachok iaitu Tawang, Pantai Irama dan Jelawat.

Azhar (dua dari kiri) mengiringi Penyelaras Dun Jelawat, Bachok, Mohd Radzuan Hamat sempena program KJK, di sini siang tadi.

Azhar (dua dari kiri) mengiringi Penyelaras Dun Jelawat, Bachok, Mohd Radzuan Hamat (berbaju batik) sempena program KJK, di sini siang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) Jabatan Penerangan Kelantan, Azhar Haji Ismail berkata matlamat utama program bukan sekadar menjelajah tetapi ada mesej-mesej yang disampaikan kepada orang ramai.

“Kembara ini sebenarnya merupakan kesinambungan daripada program Sepakat Komuniti bagi daerah dan Parlimen Bachok, jadi kita rangkumkan sekali menjadikan satu pakej program yang kita rasakan sangat istimewa.

“Dalam pada itu, kita turut menjalinkan hubungan dengan pemimpin-pemimpin tempatan sebagai jaringan komunikasi,” katanya yang ditemui sempena program KJK di DUN Jelawat, hari ini.

Azhar turut menjelaskan tujuan kembara adalah untuk menyantuni mereka yang kurang dikunjungi selama ini.

“Di mana mereka ini lazimnya tidak disentuh ataupun kurang dikunjungi oleh agensi-agensi kerajaan mahupun mana-mana pertubuhan bukan kerajaan.

Keadaan rumah Jarah yang uzur serta tiada kemudahan tandas yang sempurna menyebabkan Jabatan Penerangan terpanggil untuk membantu.

Keadaan rumah Jarah yang uzur serta tiada kemudahan tandas yang sempurna menyebabkan Jabatan Penerangan terpanggil untuk membantu.

“Kadang-kadang mereka tidak bersama kita kerana mereka ini tidak dipeduli, jadi dengan pendekatan kita ini diharapkan dapat membuahkan satu titik kesedaran bahawa mereka juga mendapat perhatian kerajaan,” tambahnya lagi.

Sementara itu seorang penerima bantuan pembinaan sebuah tandas khas di kediamannya, Jarah Yusoff yang tidak berupaya untuk berjalan berharap dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa.

“Saya terharu kerana masalah saya ini mendapat perhatian pihak tertentu. Semoga kehidupan selepas ini akan lebih teratur dan mudah. Terima kasih banyak- banyak kepada semua yang membantu,” ujarnya yang hanya mampu mengengsot sejak dua tahun yang lalu.

Menerusi CTU, setiap program yang dilaksanakan berkonsepkan konvoi dengan menyampaikan sumbangan titik sentuhan melalui KJK, pameran agensi, selain turut melibatkan program pembaikan rumah.

Di Kelantan sahaja, program ini melibatkan sebanyak 60 buah rumah, yang mana di Bachok sebanyak tiga buah rumah telah dipilih untuk dibaik pulih iaitu sebuah rumah di Pantai Senok (DUN Tawang) dan dua buah rumah di Kampung Tok Burung (DUN Pantai Irama).

-SH

Tinggalkan komen anda