
Laporan oleh: Idris Sani Saberun / Foto: Vicky Matanjang
KOTA BELUD, 13 Apr (Malaysiaaktif) – Warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyantuni 10 orang warga emas dan kurang upaya pada program Kembara Jalinan Kasih (KJK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamayan, di sini, pada Jumaat.
Antara warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menerima bantuan itu adalah dari Kampung Tengkurus dan Kampung Sayap.

Sharifah Zaharah menyampaikan bantuan kawangan kepada kanak-kanak OKU Nur Awfiyah Zahra Mardi (5 tahun) (kanan) yang mengalami masalah pendengaran dan saluran nafas sempit di Kampung Tengkurus.
Sumbangan berupa kotak berisi keperluan harian dan wang tunai diberikan dari rumah ke rumah penduduk itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Tan Sri Dr. Sharifah Zaharah Syed Ahmad
Bercakap kepada pemberita, Sharifah berkata, tujuan KJK ini diadakan adalah untuk mendekati golongan yang memerlukan dan bertanya khabar walaupun sesetengahnya sudah uzur dan tidak mampu bergerak.

TEKUN…Sharifah Zaharah mendengar keperluan yang diperlukan Normawati Joseph, OKU yang memiliki kemahiran menjahit namun tidak mampu membeli mesin khas tersebut berikutan harganya yang mahal.
“Hari ini, kita sampaikan bantuan keperluan makanan harian dan wang tunai di samping beramah mesra bersama pemimpin setempat dan mereka yang memerlukan,” katanya.
Program itu merupakan antara pengisian sempena Program Negaraku: Menghubung Menyatu @Kota Belud yang dirasmikan Menteri KKMM, Datuk Seri Mohd Salleh Tun Said di Padang SK Tamu Darat pada jam 2 petang, Sabtu ini.
Sharifah berkata, sumbangan itu antara usaha keprihatinan agensi kerajaan terhadap kebajikan di samping menterjemahkan nilai kasih sayang terhadap golongan warga yang memerlukan.
Sementara itu, seorang OKU yang mengalami masalah penyakit kulit sejak lahir, Normawati Joseph, 30 tahun, dari Kampung Tengkurus amat bersyukur dan berterima kasih kerana dikunjungi oleh pemimpin setempat.

Sharifah Zaharah (tiga kanan) merakamkan gambar kenangan bersama-sama keluarga adik Nur Awfiyah Zahra dan pengurusan tertinggi KKMM sejurus melawati keluarga tersebut.
“Lebih bermakna, saya yang OKU ini dapat berinteraksi dengan pemimpin setempat dan ketua agensi kerajaan yang mendengar keperluan yang diperlukan oleh saya” ujarnya.
Beliau berterima kasih kepada KSU KKMM kerana sudi membantu beliau untuk mendapatkan sebuah mesin jahit khas agar boleh digunakan untuk menambah pendapatan keluarga.
Menurut Normawati program Jabatan Penerangan ini wajar diberi pujian kerana pendekatan berkenaan membolehkan penduduk berinteraksi dengan pemimpin setempat khususnya berkaitan kebajikan.
Turut hadir ADUN N.7 Kadamaian, Jeremmy Malajad, Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Swady Guliling; Pengarah Penyiaran Kawasan Sabah, Malinaziah Datu Mohd Julasip dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Sabah, Datuk Abdul Manap Lakariba.
-MRR