
Laporan oleh: Asmidar Zainol/Foto: Shahvian Muhammad Razali (Sabah)
Kota Belud, 25 Apr (Malaysiaaktif) – Malaysia menjadi negara pertama di dunia menghubungkan ke semua 10 ribu sekolah dengan pelantar pembelajaran di atas talian.
Menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Said Keruak berkata, melalui pelantar Frog Virtual Learning Environment (Frog VLE) seramai 10 juta pelajar, guru serta ibubapa dapat dihubungkan.
“Frog VLE turut mewujudkan trend baharu seperti globalisasi, mobiliti, kolaborasi, evolusi dalam pembelajaran dan pengajaran serta penggunaan teknologi yang maksima.
“Melalui pelantar ini juga, sikap menuntut dan mencari ilmu tanpa ada kerjasama atau sikap ‘working in silos’ dapat dipecahkan demi kepentingan bersama,” jelasnya.
Tambah Salleh, pembangunan negara yang kukuh terletak kepada kejayaan negara melahirkan modal insan yang berkualiti memenuhi ciri keperluan abad ke-21.
“Bagi tujuan tersebut, kita perlu mengenal pasti dan menggunakan pendekatan terbaharu, membangunkan modal insan yang berketrampilan dan mempunyai bakat menghadapi persaingan, menyumbang kepada penyelesaian cabaran-cabaran semasa akan datang dan seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya.
Beliau turut berharap pelantar berkenaan dapat diwujudkan di Institut Pengajian Tinggi iaitu Kolej Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) sebagai saluran kolaborasi yang dapat memperkayakan khazanah ilmu.
Salleh berkata demikian semasa merasmikan Pelancaran Sekolah Hub Frog Classroom Daerah Kota Belud di Sekolah Menengah Agama Tun Said pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul; Pengarah Eksekutif Komunikasi YTL, Dato’ Yeoh Soon Keng; Pengarah Eksekutif FrogAsia Sdn Bhd, Yeoh Pei Lou.