Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pertandingan Lima Penjuru di DUN N.29 Kundasang

By 28 April 2018Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan oleh: Idris Sani Saberun

Ranau, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Kundasang menyaksikan pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Kerjasama Anak Negeri (PAN) dan Parti Kebangsaan Sabah (PKS).

Bagi DUN N.29, calon BN yang merupakan penyandang kerusi tersebut, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, 60 tahun, tiba di Pusat Penamaan Calon pagi tadi bagi mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.09 pagi.

Parti Warisan Sabah pula meletakkan calonnya Siriman@ Mohd. Fazid Basir, 60 tahun,yang merupakan mantan Pegawai Daerah Ranau mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.37 pagi.

Turut bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 ini adalah Presiden PAN, Datuk Henrynus Amin yang turut mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.39 pagi.

Penampilan pertama bagi calon PKS yang menyertai pertandingan di DUN N.29 ini adalah Jinus Sodiong dari Ulu Sugud yang hadir memgemukakan borang pencalonan pada jam 9.30 pagi.

Parti STAR yang juga dikenali sebagai Gabungan Sabah meletakkan Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Japiril Suhaimin, 55 tahun sebagai calon yang menggunakan lambang parti STAR bagi pertembungan lima penjuru tersebut.

Menurut Pegawai Pengurus Pilihanraya bagi kawasan Ranau, Faimin Kaimin, beliau berpuas hati dengan kelancaran pendaftaran kertas pencalonan yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau bermula dari jam 9.00 pagi dengan suasana tenang dan lancar.

Malah, tiada calon yang ditolak borang permohonannya dan diharapkan para calon dan penyokong sentiasa mematuhi peraturan Suruhanjaya Pilihanraya khususnya semasa dalam tempoh berkempen hinggalah pada hari membuang undi.

Jumlah pengundi di DUN Kundasang adalah seramai 14,864 pengundi yang mana terdapat 13 pusat pengundian akan terlibat pada proses pembuangan undi nanti yang mana pusat penjumlahan undi akan dijalankan di Dewan Masyarakat Ranau pada 9 Mei nanti, tambah Faimin lagi.

 

 

-MRR

 

Tinggalkan komen anda