Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Jangan Takut Jarum, Sakitnya Sekejap Saja…

By 30 April 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan dan foto oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Azman Jumat(Sabah)

KOTA KINABALU, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Cuba untuk mengajak masyarakat supaya lebih berani untuk menderma darah, Norfatikah Mohd Rohani, 21 meyakinkan mereka agar tidak takut dengan jarum suntikan.

Norfatikah Mohd Rohani

Norfatikah Mohd Rohani

“Ramai antara kita tidak mampu untuk menderma darah kerana takutkan jarum suntikan, tapi janganlah kita takutkan jarum, sebab sakitnya hanya sekejap sahaja.

“Rasa suntikan itu pula hanya seperti digigit semut, kemudian kita tidak akan rasa apa-apa,”katanya yang mempunyai darah jenis B.

Norfatikah ditemui dalam program Derma Darah anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah, yang berlangsung di Oceanus Waterfront Mall pada petang ahad.

Tambahnya, dia sendiri baru dua kali menderma darah selepas timbul kesedaran untuk melakukannya selepas musibah yang berlaku terhadap Allahyarham datuknya pada suatu ketika dahulu.

“Datuk ketika itu amat memerlukan darah tambahan tetapi tabung darah di hospital sangat kekurangan, dari situ la timbul kesedaran betapa perlunya kita menderma.

“Dengan hanya satu pain, kita mampu menyelamatkan banyak nyawa,”kata Nofatikah.

Zander Wong Yit San.

Zander Wong Yit San.

Sementara itu, pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman, Zander Wong Yit San,19 pula mengakui ini merupakan kali pertama beliau menderma darah.

“Saya sendiri merupakan ahli persatuan bulan sabit merah tetapi tidak pernah menderma darah, hinggalah hari ini seorang kawan mengajak saya ke sini.

“Pendapat saya, kita perlu gunakan sepenuhnya peranan media sosial untuk mewar-warkan keperluan menderma darah dan kepentingan membantu mereka yang memerlukan.

“Mungkin kita boleh mulakan dengan membawa orang yang rapat dengan kita seperti ahli keluarga dan rakan-rakan kerana hanya satu pain diperlukan daripada satu individu,”katanya yang mempunyai darah jenis A.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi BSMM Sabah, Asnan Yunus Chung dan Pengerusi Jawatankuasa Derma Darah BSMM Sabah, Jismil Yaakob.

Menurut Asnan, rata-rata hospital di Sabah kekurangan darah kerana ramai kanak-kanak yang menghidapi penyakit talasemia memerlukan bekalan setiap bulan.

“Sudah tentu kita memerlukan banyak simpanan darah di hospital dan kerana itu juga BSMM mengambil inisiatif ini untuk membantu pihak hospital menangani masalah ini.

Asnan tengah bergambar bersama pemenang pertandingan mewarna sambil ditemani oleh Jismil (kiri) dan Leslie (kanan).

Asnan tengah bergambar bersama pemenang pertandingan mewarna sambil ditemani oleh Jismil (kiri) dan Leslie (kanan).

“Pihak hospital tidak mampu untuk melakukannya sendiri maka mereka juga memerlukan bantuan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan BSMM sendiri memang terlibat secara langsung,”katanya.

Menurutnya, program ini juga merupakan latihan bagi persediaan untuk Program Pelancaran Derma Darah Peringkat Kebangsaan pad September akan datang dan Sabah dilantik sebagai tuan rumah.

Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur Program Derma Darah, Leslie Chan Boon Siang berkata seramai 140 penderma yang telah mendaftar sepanjang program dijalankan.

Leslie Chan Boon Siang.

Leslie Chan Boon Siang.

“Kami bersyukur dengan respons yang diterima oleh penderma lebih-lebih lagi dengan sokongan berkumpulan daripada 12 orang pegawai RELA platun Luyang dan enam orang pegawai Jabatan Penjara daripada Kota Belud.

“Kami juga menghargai kerjasama yang diberikan oleh pihak penaja dan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada mereka serta kita harapkan sokongan ini berterusan.

“Seramai 25 orang sukarelawan datang membantu melancarkan program pada hari ini iaitu daripada Tuaran, Penampang, Kota Kinabalu, Sandakan, Ranau dan Sipitang,”katanya.

Pelbagai persembahan pentas turut berlangsung sepanjang program tersebut dijalankan termasuklah Pertandingan Mewarna Kanak-kanak.

Leslie(kanan) turut menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Sazarice Sdn Bhd.

Leslie(kanan) turut menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Sazarice Sdn Bhd.

Dalam program tersebut, pihak Sazarice Sdn Bhd menyumbangkan 200 kilogram beras kepada 200 penderma, Almacrest International College turut menyediakan sukarelawan di kalangan pelajarnya bagi membantu sepanjang kempen tersebut berlangsung.

Turut menaja, Ford Ranger Owner’s Club Borneo Region, Sabah Tour Guide Charity Team, Multijuta Enterprise serta Tung- E Enterprise.

Hadir sama, Setiausaha Kehormat BSMM Negeri Sabah, Elizabeth Sikayun; Ketua Pegawai dan Eksekutif Almacrest International College, Stephanie Yen.

 

 

-MRR

Tinggalkan komen anda