
Laporan : Nurul Azreen dan khairun Nadiah
Foto : Foto KMJG 2018
MELAKA, 14 Ogos (Malaysiaaktif)– Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 (KMJG2018) meneruskan perjalanan untuk hari yang ke 10 pada hari ini dan telah menjelajah tiga daerah iaitu Pasir Gudang, Batu Pahat, Muar dan terakhir Merlimau, Melaka. Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat daerah masing-masing telah diadakan di setiap tempat persinggahan.
Pada hari ini konvoi telah di ketuai oleh Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Jabatan Penerangan Malaysia, Puan Nadzerah binti Abdullah .
“Kita sebagai rakyat Malaysia harus menunjukkan semangat cintakan negara dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, di kereta dan di premis-premis perniagaan” ujarnya.
Setiap daerah mempamerkan sambutan yang unik dan tersendiri yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah.
Ketika di hentian pertama iaitu di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang peserta KMJG 2018 disambut dengan cukup meriah oleh para pelajar. Menariknya, mereka turut mempersembahkan nyanyian lagu Negaraku menggunakan bahasa isyarat.
Sambutan oleh pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum, Merlimau tidak kurang hebatnya dengan persembahan paluan kompang berirama, silat dan tarian tradisional.
Wakil rasmi Pegawai Daerah Batu Pahat, Abu Bakar bin Mohamed Salleh berharap agar warga muda di Malaysia dapat menghayati erti Jalur Gemilang dengan lebih mendalam sekaligus menjadikan aktiviti kibar Jalur Gemilang sebagai budaya dalam kehidupan.
“Jalur Gemilang bukanlah hanya sekadar sehelai kain. Setiap warna, jalur, bintang dan bulan membawa maksud yang tersendiri. Kita hendaklah mempunyai memahami setiap maksud tersebut agar dapat membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu di bawah satu bendera yang sama,” kata Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya petang tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Norhayati Bachok turut menyatakan harapannya agar penduduk Muar dapat terus membudayakan aktiviti kibar Jalur Gemilang setiap masa dan bukannya hanya ketika meraikan Hari Kebangsaan.