
Laporan oleh: Rose Rasidi / Foto oleh: Nawawi Kasa
PENDANG, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Semalam, masyarakat daerah Pendang, Kedah menyambut sambutan kemerdekaan dengan meriahnya dan meraikan kedatangan peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 (KMJG2018) di Pejabat Daerah dan Tanah Pendang.

Muhamad Aiman Amsyar Ilyas mewakili Pegawai Daerah Pendang menerima Jalur Gemilang daripada Ketua Konvoi
Menurut Penolong Pegawai Daerah, Muhamad Aiman Amsyar Ilyas yang mewakili Pegawai Daerah Pendang dalam ucapan perasmiannya berkata, “Kita perlu bersungguh meraikan sambutan kemerdekaan dan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat haruslah diterap dalam jiwa kita,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyambut kedatangan peserta konvoi yang terdiri daripada 133 orang yang melibatkan 15 buah kenderaan dan 30 buah motosikal berkuasa tinggi. Kembara ini yang bermula dari Pulau Pinang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia telah memasuki hari ke-4 semasa singgah di daerah Pendang, dan akan melalui Gerik dan seterusnya ke negeri Kelantan.
Konvoi KMJG2018 disambut dengan meriahnya oleh pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah serta penduduk tempatan dibahu-bahu jalan utama. Sepanjang program ini telah diadakan sesi derma darah oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan sesi wefie merdeka.
Menurut kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Pendang, Nur Hafizah Ahmad, 28 berkata, ”Kehadiran konvoi ini sangat menarik dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan.” Tambahnya lagi, “merdeka memberi banyak erti mendalam pada saya, yang pasti sebagai rakyat Malaysia saya mendoakan agar negara kita bebas daripada sebarang penjajahan terutamanya penjajahan moden berbentuk media sosial yang mudah mempengaruhi minda anak muda kita,” ujarnya lagi.
Naswanti Asmidar Abdullah, 34 antara pengunjung yang hadir pula berkata, “kita perlu berubah kepada yang baik dan sentiasa memajukan diri,” ujarnya yang turut mengharap kerajaan kini menjaga kebajikan rakyat daripada bebanan kos taraf hidup yang semakin meningkat.
Program ini diakhiri dengan upacara perlepasan peserta konvoi oleh Muhamad Aiman Amsyar Ilyas yang mewakili Pegawai Daerah Pendang bersama pemimpin-pemimpin tempatan daerah Pendang, Kedah.
– MRR