Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri Sembilan

Sambutan Hari Kebangsaan Negeri Sembilan Meriah

By 31 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan: Suzilawati Kamarudin (Seremban)        Foto: Mohd Khairulnizam Yunus

SEREMBAN, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Sejak awal pagi, Dataran Majlis Perbandaran Seremban (MPS) hari ini telah dibanjiri orang awam yang tidak mahu ketinggalan meraikan kemeriahan Hari Kebangsaan kali Ke-61 ini bersama Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pelbagai warna dan corak baju yang digayakan oleh 5971 orang peserta perbarisan terdiri daripada 94 pasukan kontinjen dan 45 buah aset tentera pada hari ini menyerikan lagi suasana sambutan di sini.

Pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum turut  sama menzahirkan semangat Sayangi Malaysiaku apabila berdiri megah ketika lagu Negaraku dinyanyikan. Generasi muda, belia dan kanak-kanak antara yang memenuhi Dataran MPS ini.

Orang awam sambut meriah Hari Kebangsaan.

Orang awam sambut meriah Hari Kebangsaan.

Terdahulu Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berharap agar generasi muda khasnya dalam Negeri Sembilan menyelami nilai-nilai perpaduan dalam tema Sayangi Malaysiaku.

Pengunjung, Karisma a/p Parabalan, 39 berasal daripada Kuala Pilah melahirkan rasa terharu kerana dapat bersama-sama menyaksikan sendiri perarakan dan perbarisan pada pagi ini.

“Saya dan keluarga keluar dari rumah seawal jam 5.40 pagi sebab takut jalan sesak. Anak saya beriya-iya mahu melihat persembahan daripada pihak bomba. Bukan selalu dapat lihat kenderaan-kenderaan tentera seperti kereta kebal. Melihat di depan mata lebih seronok dan suatu perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia terbit dari dalam jiwa”, tambahnya lagi.

Persembahan perarakan kenderaan dan aset tentera Negeri Sembilan.

Persembahan perarakan kenderaan dan aset tentera Negeri Sembilan.

“Pastinya kelainan Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini dirasai setelah perubahan pentadbiran Malaysia, walaupun begitu, semangat dan kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan tidak pernah berubah, tetap kekal indah dan meriah. Ketepikan fahaman politik, sambutlah hari yang indah ini dengan semangat Sayangi Malaysiaku,” kata seorang lagi pengunjung, Zuliawati Kamarudin yang  berkongsi ulang tahun kelahirannya yang ke-35 pada hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan ketika meraikan Sambutan Hari Kebangsaan ke-61 Peringkat Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan ketika meraikan Sambutan Hari Kebangsaan ke-61 Peringkat Negeri Sembilan.

Turut berangkat ke majlis ini Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud. Turut hadir, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Barisan Kepimpinan Kerajaan Negeri Sembilan.

Tinggalkan komen anda