Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeMelaka

Semangat Patriotisme Harus Dipupuk Sejak Kecil

By 6 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan dan foto: M Zakry Chan (Melaka)

AYER KEROH, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Melaka 2018 telah berlangsung pagi tadi bertempat di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, ketika menyampaikan ucapannya menyeru penjawat awam bersama-sama kerajaan hari ini untuk memerdekakan minda, bersatu padu, bermuafakat dan bertoleransi untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang berwibawa dalam inisiatif hijau, pintar dan bersih.

Adly Zahari menyerahkan Jalur Gemilang kepada kepimpinan kerajaan negeri Melaka

Adly Zahari menyerahkan Jalur Gemilang kepada kepimpinan kerajaan negeri Melaka

Menyentuh aspek nilai patriotisme, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh, Ainul Syafiq Abdullah, 16, berkata, usaha memupuk nilai-nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda harus dimulakan seawal usia lagi dengan memperkenalkan mereka dengan pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Dol Said, Tunku Abdul Rahman dan ramai lagi.

“Ibarat ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ pendekatan ini akan melahirkan generasi yang celik sejarah dan memahami intipati perjuangan kemerdekaan dalam diri mereka,” ujarnya lagi.

“Di samping itu, peranan kerajaan pada hari ini amat mencabar dalam mendepani segelintir rakyat yang tidak faham sejarah dan membawa ideologi negatif sehingga mempu merosakkan keharmoniaan antara kaum di negara kita. Oleh itu, saya berharap kerajaan bertindak tegas dalam hal ini,” tambahnya yang hadir dalam majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang.

Ainul Syafiq Abdullah berbangga sebagai rakyat Malaysia.

Ainul Syafiq Abdullah berbangga sebagai rakyat Malaysia.

Manakala bagi Firas Faiq Hussein, 16, semangat patriotisme bukanlah sekadar mengibarkan bendera semata-mata tetapi harus lahir dalam diri semangat cinta kepada negara dan rela bekorban untuk tanah air tercinta.

“Sebagai seorang pelajar, pelbagai program telah dan akan diadakan sempena Bulan Kebangsaan di sekolah antaranya Kempen Kibar Jalur Gemilang, Pertandingan Sketsa Rukun Negara, Penulisan Puisi Kemerdekaan dan Keceriaan Bilik Merdeka,”ujar Firas Faiq yang juga pelajar SMK Ayer Keroh.

 

-KN

Tinggalkan komen anda