
Laporan dan foto oleh: Mohd Syukri Ibrahim
KEMAMAN, 4 Sep (MalaysiaAktif) – Program meningkatkan pendapatan nelayan sungai dengan pelepasan hampir 300,000 benih ikan dan udang ke dalam sungai seluruh negeri Terengganu diadakan di sini, hari ini.
Benih ikan dan udang yang dilepaskan ke dalam sungai dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Terengganu dengan jumlah mencecah 300,000 bermula Januari sehingga kini dianggarkan bernilai RM 121,550.
Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali yang ditemui dalam Program Pelepasan Benih Ikan dan Udang di sungai kg. Air Putih Kemaman pagi tadi berkata “bagi meningkatkan pendapatan para nelayan sungai di sini, pelepasan benih ini melibatkan sebanyak 90,400 ekor benih ikan dan udang melibatkan kos bernilai RM 37,000.”
Untuk rekod, pelepasan benih ikan dan udang di Kemaman sahaja sejak 2014 hingga hari ini adalah sebanyak 230,800 ekor benih ikan dan udang melibatkan kos sebanyak RM 126,000,” katanya.
“Benih-benih yang dilepaskan itu terdiri daripada ikan dan udang bernilai tinggi iaitu ikan kelah, lampan sungai, siakap dan udang galah.”
“Program pelepasan benih ikan dan udang ini dijangka akan menambah pendapatan nelayan sungai kerana ikan-ikan itu mempunyai nilai pasaran yang tinggi seperti seekor kelah mampu mencapai ratusan ringgit jika bersaiz besar, ” ujarnya lagi.

Zawawi Ali Bergambar kenangan setelah selesai program pelepasan benih ikan dan udang ke dalam sungai.
Dijangka dalam masa 8 bulan atau pun sekitar Jun tahun hadapan, benih yang dilepaskan hari ini boleh ditangkap setelah benih ikan dan udang itu dilepaskan ke perairan umum Sungai Kemaman di Kampung Air Putih pagi tadi.
Program pelepasan benih ini turut dihadiri oleh ADUN Air Putih, Abd. Razak Ibrahim dan nelayan-nelayan sungai tempatan.
EM