Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePulau Pinang

Kembara Anak Merdeka Terokai Sejarah Pulau Pinang

By 15 September 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan & Foto : Lizza Imelia M. Sulanah (Seberang Perai Tengah)

PERMATANG PAUH, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Pengembaraan selama dua hari sememangnya tidak mencukupi untuk menerokai sejarah Pulau  Pinang.  Baru-bari ini Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) telah menganjurkan Kembara Anak Merdeka 2018 bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan sambutan Hari Malaysia 2018 yang merupakan satu inisiatif yang amat membanggakan. 

Menurut Pengarah Projek bagi Kembara Anak Merdeka 2018, Muhamad Azim A’nsori, kembara tersebut merupakan kali kedua yang dianjurkan oleh PPAPP.  Pada tahun pertama, lokasi penjelajahan merangkumi kawasan berdekatan dan jumlah peserta agak terhad berbanding tahun ini yang melibatkan penyertaan seramai 70 orang yang menaiki 17 buah kereta.

Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang tidak ketinggalan untuk menghantar wakil iaitu daripada Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang diketuai oleh Pegawai Penerangan Daerah SPT. 

Penjelajahan 4 lokasi yang ditetapkan adalah Penanti, Pinang Tunggal, Guar Kepah dan Butterworth, penuh dengan pengisian yang tersendiri. Kembara Anak Merdeka bermula di Rumah Tuan Guru Syeikh Hj Osman, Jalaluddin Al-Kalantani, seorang tokoh ulama yang terkenal pada abad ke-20.  Kejayaan beliau membina sebuah madrasah yang dikenali sebagai  Madrasah Manabi Al-Ulum di Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah melonjakkan nama beliau sebagai seorang ulama yang terkenal dan madrasah tersebut telah menjadi pusat pengajian pondok paling maju di sekitar 1930 hingga 40 an.

Peserta kembara turut berkesempatan untuk menziarah Jambatan Federated Malay State Railway (FMSR), Pinang Tunggal.  Pada zaman dahulu jambatan ini merupakan penghubung dan juga jalan pintas bagi penduduk kedua-dua Pinang Tunggal untuk ke Sungai Petani atau Kepala Batas menggunakan motosikal.  Seperti mana jambatan lain apabila Perang Dunia Kedua meletus bahagian tengah jambatan ini telah diletupkan bagi melambatkan pergerakkan tentera Jepun.  Menurut cerita masyarakat tempatan, serpihan bahagian yang diletupkan itu masih boleh dilihat di dasar Sungai Muda jika airnya surut.  Setelah lebih seabad memberi khidmat kepada penunggang basikal, pejalan kaki dan penunggang motosikal akhirnya tugas jambatan ini diambil alih oleh Jambatan Baru Sungai Muda yang siap dibina pada tahun 2008.  Namun, jambatan ini masih menjadi tumpuan pengunjung ke Pinang Tunggal untuk melihat peninggalan sejarah ini.

Lokasi terakhir untuk hari pertama Kembara Anak Merdeka 2018 adalah Tapak Galeri Arkeologi Guar Kepah di Seberang Perai Utara.  Para peserta kembara telah disambut oleh Cik Nurul Amira Md Isa, Kurator dan pasukannya.  Di sini, peserta diterangkan dengan sejarah wujudnya penempatan manusia dengan cara hidup adaptasi marin di Semenanjung Malaysia dan merupakan lokasi penempatan.

6C1DEAE0-CE62-4B4F-A25F-AE11F4364676

lebih lama daripada Lembah Bujang (1,500 tahun).  Ia turut mendedahkan kebudayaan pengebumian Neolitik di dalam timbunan cengkerang di tepi laut dan kewujudan manusia terawal di Pulau Pinang dan satu-satunya bukti warisan pra-sejarah bagi Negeri Pulau Pinang.

Guar Kepah merupakan tapak ekskavasi arkeologi pertama di Malaysia yang telah dijalankan oleh Sir G W Earl pada tahun 1860. Hasil kajian menemui sebanyak 37 rangka manusia yang kini ditempatkan di Leiden, Belanda.  Kerajaan Negeri juga dimaklumkan bahawa dari pemerhatian awal mendapati sebahagian tulang telah terusik dan sebahagian lain masih tidak disentuh.  Secara amnya, susunan tulang manusia ini masih sempurna dan ditanam secara berlipat. Selain itu, terdapat juga penemuan lain seperti tembikar dan cengkerang.

Pada hari kedua Kembara Anak Merdeka 2018, lokasi diteruskan ke Balai Pukat dan Meriam Timbul, Butterworth.  Apabila disebut saja tentang Terminal Feri Sultan Abdul Halim, sudah pasti ramai yang sedia maklum bahawa ia merupakan antara kawasan pelancongan terkenal di Pulau Pinang.  Tidak lengkap melancong ke negeri ini jika tidak merasai pengalaman menaiki feri berusia puluhan tahun yang menghubungkan antara Seberang Perai dan kawasan pulau.

Walaupun ramai pelancong asing dan tempatan sering berkunjung ke situ, tetapi tidak ramai yang menyedari akan kewujudan peristiwa sejarah berdekatan kawasan tersebut.  Bagi masyarakat setempat mungkin ada sebahagiannya yang sudah sedia maklum mengenai sejarah yang tersingkap di kawasan itu.  Namun bagi pelancong luar, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di situ terdapat satu tempat yang dikenali sebagai MeriamTimbul.

Para peserta mendengar taklimat yang disampaikan

Para peserta mendengar taklimat yang disampaikan

Meriam Timbul terhasil akibat daripada peristiwa perang Kedah–Inggeris yang berlaku sekitar 1791.  Tidak ramai yang menyedari akan kewujudan sejarah disitu dek kerana pembangunan yang semakin rancak di kawasan sekitarnya.  Pembangunan yang jelas kelihatan adalah Penang Sentral yang menempatkan kemudahan stesen kereta api, bas, feri dan teksi.  Tidak jauh dari situ juga terdapat sebuah kawasan perumahan, sekolah, universiti, bank dan pusat komersial yang semakin membangun.

Setiap lokasi yang dilawati disulami dengan aktiviti berkumpulan yang sangat mencabar. Selain bertujuan untuk mengetahui dan memahami hasil tinggalan sejarah, aktiviti tersebut bertujuan untuk menguji pengetahuan am peserta dan semangat berkumpulan yang wujud antara satu sama lain.  Kerjasama dan kemahiran berkomunikasi amat diperlukan sepanjang penjelajahan ini.

Majlis Penutup Kembara Anak Merdeka 2018 telah disempunakan oleh Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Hj Mohd Ali Sebran.  Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang menyertai, merangkumi kakitangan kerajaan, badan korporat, pelajar sekolah bersama guru serta pihak NGO.  Beliau juga berharap usaha mengenali sejarah Pulau Pinang dapat diteruskan bagi memastikan tinggalan sejarah ini tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

ER

Tinggalkan komen anda