Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Sambutan Hari Alzheimer Sedunia HQE Meriah

By 25 September 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan dan foto: Zaidi Jamin(Sabah)

 

 

KOTA KINABALU, 25 Sept (Malaysiaaktif) – Masyarakat digalakkan untuk terus meningkatkan pengetahuan mengenai penyakit Alzeimer kerana setiap insan pasti akan melalui proses penuaan yang memerlukan penjagaan dan perawatan kesihatan diri yang lebih rapi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr. Christina Rundi berkata, penyakit alzeimer adalah sejenis penyakit penuaan pada sel otak yang berlaku secara perlahan dan berterusan.

“Alzeimer bukanlah nyanyuk, sebaliknya penyakit ini cenderung menyumbang hampir 60 hingga 70 peratus kepada masalah nyanyuk atau lebih dikenali sebagai ‘Dementia’.

Dr. Christina (kedua kanan) dan Dr. Premala (kanan) melawat tapak pameran dan menerima penjelasan daripada ahli daripada Persatuan Alzheimer negeri.

Dr. Christina (kedua kanan) dan Dr. Premala (kanan) melawat tapak pameran dan menerima penjelasan daripada ahli daripada Persatuan Alzheimer negeri.

“Simptom dan tanda-tanda awal penyakit ini termasuklah kesukaran mengingati perkara yang baru sahaja dilakukan, contohnya, terlupa di mana meletakkan kunci kereta atau tidak ingat di mana tempat meletakkan kereta.

“Penyakit ini akan menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan penghidap tidak mampu mengingati perkara yang lebih penting seperti nama sendiri mahupun ahli
keluarga,”ujarnya.

Tambah Christina, pesakit juga akan mengalami kesukaran untuk bercakap dan mengenal perkataan, perubahan tingkah-laku dan emosi serta akhirnya tidak mampu lagi mengingati perkara asas seharian seperti cara untuk makan dan mengurus diri.

Dr. Christina ketika melawat pameran dan menerima penjelasan berhubung kaedah penjagaan melalui penggunaan peralatan harian pesakit alzheimer.

Dr. Christina ketika melawat pameran dan menerima penjelasan berhubung kaedah penjagaan melalui penggunaan peralatan harian pesakit alzheimer.

Katanya juga, depresi dan perubahan tingkahlaku juga adalah gejala awal alzheimer, sebelum pesakit mengalami masalah hilang ingatan.

Dr. Christina berkata demikian semasa merasmikan sambutan Hari Azheimer Sedunia Peringkat Hospital Queen Elizabeth (HQE) anjuran Unit Geriatrik bertempat di Auditorium, Menara Berkembar baru-baru ini.

“Sambutan Hari Azheimer Sedunia pada 21 September setiap tahun merupakan momentum untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit Alzheimer.

“Kesedaran masyarakat dalam meningkatkan pengetahuan mengenai penyakit alzeimer amat penting kerana peningkatan usia dan proses penuaan perlu diimbangi dengan pengetahuan agar kualiti kehidupan golongan ini khususnya kalangan warga emas terus kekal sihat.

Ahli jawatankuasa sambutan Unit Geriatrik hospital merakam gambar bersama-sama ketua unit Geriatrik Dr. Premala (kedua kanan).

Ahli jawatankuasa sambutan Unit Geriatrik hospital merakam gambar bersama-sama ketua unit Geriatrik Dr. Premala (kedua kanan).

“Sambutan ini pastinya memberi peringatan kepada kita bahawa peningkatan usia termasuklah penuaan sel otak adalah satu proses yang berlaku dalam setiap individu.

“Justeru, kita perlu mengambil langkah–langkah awal bagi mencapai penuaan yang berjaya termasuklah pengetahuan pelbagai penyakit yang mudah dihadapi di usia yang lanjut,” jelasnya.

Menurut Christina, Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama hospital akan terus merancang dan mempergiat pelbagai program kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit alzheimer agar masyarakat maklum dan peka bahawa proses penuaan yang sihat penting untuk meningkatkan kualiti kehidupan setiap individu.

Dalam pada itu, Pengerusi Sambutan Hari Azheimer Sedunia Peringkat HQE, Dr. Premala A/P Subramaniam berkata, punca penyakit alzheimer masih tidak diketahui sepenuhnya.

Sebahagian daripada warga hospital dan hadirin yang hadir sempena sambutan Hari Alzheimer Sedunia peringkat HQE.

Sebahagian daripada warga hospital dan hadirin yang hadir sempena sambutan Hari Alzheimer Sedunia peringkat HQE.

“Namun merujuk pakar perubatan, ia disebabkan oleh kombinasi faktor genetik, gaya hidup dan persekitaran sekaligus menjejaskan otak terutamanya dari segi ingatan, perancangan aktiviti, emosi, kelakuan, percakapan seterusnya penjagaan peribadi seseorang.

“Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko seseorang mendapat penyakit alzheimer antaranya kemurungan, penyakit darah tinggi, kencing manis, tahap kolesterol yang tinggi termasuklah sejarah dan kesan kecederaan di bahagian kepala.

“Walaupun tiada rawatan menyembuhkan penyakit ini, ada langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko iaitu dengan meneruskan stimulasi kognitif,
mengekalkan komunikasi menerusi kawan-kawan (social networking), saudara mara dan bergerak aktif melalui persatuan yang digemari, melakukan senaman secara berkala (regular Exercise) dan mengekalkan pemikiran ( attitude) yang positif,” jelasnya yang juga merupakan Ketua Unit Geriatrik HQE.

Menurutnya, individu yang menghadapi penyakit alzheimer sangat memerlukan perhatian dan pemantauan yang berterusan.

Dr. Premala (kiri) ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah dan Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental HQE , Dr. Lew Sheau Voon (kanan)

Dr. Premala (kiri) ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah dan Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental HQE , Dr. Lew Sheau Voon (kanan)

“Oleh itu, setiap individu adalah disaran agar mengambil langkah awal membuat pemeriksaan berkala sebagai usaha pencegahan dan rawatan awal.

“Penjagaan pesakit alzheimer merupakan sesuatu yang yang sukar di mana ramai penjaga rasa terbeban akibat kekurangan pengetahuan berkenaan penyakit ini.

“Amatlah disaran kepada ahli keluarga untuk berjumpa pegawai perubatan dan kesihatan lebih awal supaya penjagaan pesakit alzheimer dapat dimulakan lebih awal.

“Lebih kurang 30 hingga 40 peratus kalangan penjaga mengalami masalah
kemurungan dan stress apabila menjaga pesakit Alzheimer secara berterusan,” jelas Dr. Premala.

Tugas Terakhir Dalam Perkhidmatan Kejururawatan …Dr. Christina turut merakamkan gambar kenangan bersama Ketua Unit Kejururawatan HQE, Matron Morna @ Chua Wui Lang yang bersara setelah berkhidmat hampir 41 tahun dalam perkhidmatan

Tugas Terakhir Dalam Perkhidmatan Kejururawatan …Dr. Christina turut
merakamkan gambar kenangan bersama Ketua Unit Kejururawatan HQE, Matron Morna @ Chua Wui Lang yang bersara setelah berkhidmat hampir 41 tahun dalam perkhidmatan

Dengan tema sambutan ‘remember me and care for me’ majlis dimulakan dengan sesi ceramah berkaitan penyakit alzmeimer disampaikan oleh Pakar Neumedical, Dr. Chia Yuen Kang dan Pakar Psikiatri Dan Kesihatan Mental HQE , Dr. Lew Sheau Voon.

Selain pameran pelbagai maklumat berkaitan penyakit alzheimer, majlis turut diserikan dengan forum awam serta tayangan multimedia bagi tontonan dan pendedahan berkaitan penyakit ini.

Hampir seluruh warga HQE, terdiri daripada ketua-ketua Jabatan, pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan pengurusan serta ahli kalangan Persatuan Alzheimer Negeri Sabah hadir menjayakan program sambutan.

 

 

 

 

-FB

Tinggalkan komen anda