
Laporan oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Azman Jumat (Sabah)
KOTA KINABALU, 25 Sept (Malaysiaaktif) – Perhatian penonton tertumpu di pentas utama tatkala Kumpulan yang menggelar diri mereka ‘desire’ membuat persembahan, yang mengisahkan tentang perjuangan Tun Mahathir membina negara serta kecekalan Tun Siti Hasmah yang sentiasa setia bersamanya.
Kumpulan yang mewakili Pantai Barat Selatan itu mampu mengusik jiwa penonton, kerana lantunan suara dan mimik muka yang di iringi bunyi audio yang sesuai, membuatkan penonton leka dan turut sama merasai kesedihan yang dipersembahkan.
Ternyata tidak salah penilaian juri, kerana pemenangnya mudah sahaja diteka, kumpulan desire bakal mewakili negeri Sabah ke Pertandingan Pengisahan Kenegaraan di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Pahang pada Oktober.
Kumpulan ‘desire’ yang diwakili oleh pasangan adik beradik Mohd Saqafi dan Bibi Norsarah Jubar Khan serta rakan mereka, Jass Azliezan Jasli telah tiga kali mewakili Sabah dalam pertandingan yang sama.
“Penglibatan kami bermula pada 2013 mewakili Sabah dan dapat tempat ke 2, kemudian 3 tahun selepas itu pada 2016 kami sertai lagi dan berjaya dapat tempat ke 4.
“Tahun ini, rezeki kami terpilih lagi dan seboleh-bolehnya kami mahu dapatkan gelaran juara untuk Sabah, lebih dari itu apa yang penting, kami mahu apa yang dipersembahkan nanti sampai kepada penonton,”jelas Saqafi.
Menurutnya, tajuk berkisar Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah sudah lama ingin dipentaskan.
“Naskah yang kami bawa ini relevan dengan apa yang berlaku pada hari ini, jadi kami ingin tonjolkan tentang kepimpinan Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah yang sentiasa berada di belakangnya perlu kita ambil pengajaran, itu yang ingin kami ketengahkan,”katanya.
Tambahnya juga, kerana kekangan masa dan komitmen kerja mereka hanya dapat berlatih selama enam hari sahaja selepas naskah disiapkan dan bersyukur mendapat penerimaan yang baik oleh penonton.
“Insyaallah kami akan perhalusi lagi persembahan kami dalam tempoh masa berbaki seminggu dan perbaiki apa yang perlu dan tidak lupa juga terima kasih kepada keluarga dan penyokong, mohon doakan kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketua juri, Nadzerah Abdullah berkata markah penjurian yang diberikan dalam Pertandingan Pengkisahan tersebut terbahagi kepada tiga aspek iaitu daripada segi isi yang dipersembahkan, teknik penyampaian dan juga teknik penceritaan.
“Bagi penjurian isi, kita merujuk kepada isi-isi bernas yang disampaikan termasuk juga dari segi sumber rujukan yang berwibawa yang mereka lakukan.
“Daripada itu, kita dapat lihat betapa serius mereka dalam melakukan kajian terhadap tajuk-tajuk pengisahan yang mereka lakukan.
“Dari segi teknik penyampaian pula, kita akan lihat samada penyampaian peserta berbentuk pidato ataupun teater, begitu juga hasil penceritaan dari segi keselarasan daripada plot pertama dan seterusnya,”jelas Nadzerah.
Tambahnya, pemilihan tajuk perlulah menepati syarat iaitu berkisar penghargaan kepada sumbangan tokoh-tokoh di peringkat kebangsaan atau tempatan.
“Kemudian, peserta perlu membuat pilihan yang sesuai dan memastikan tokoh yang di pilih boleh memberi sumber inspirasi kepada orang ramai.
“Saya lihat peserta yang berjaya menjadi johan tadi boleh menjadi salah satu kumpulan yang dapat bersaing di peringkat kebangsaan.
“Saya juga telah memberi sedikit input penambahbaikan dan Insyallah, dengan sedikit rujukan yang mendalam, mereka boleh menjadi antara yang meraih kejayaan di peringkat kebangsaan.
“Saya juga berharap wakil Sabah ini dapat buat persembahan dengan bersungguh-sungguh kerana mereka umpama duta kepada negeri ini,”katanya.
Terdahulu, Pengarah Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka berkata melalui program seumpama ini, rakyat terutamanya generasi muda akan lebih memahami dan menghayati peristiwa bersejarah dan tokoh-tokoh yang diiktiraf kejayaan mereka.
“Dalam keghairahan sambutan hari kemerdekan pada setiap tahun, janganlah kita lupa pada susur galur sejarah perjuangan pemimpin yanng terdahulu.
“Sejarah perjuangan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah tidak boleh ditukar serta ditokok tambah semata-mata untuk memenangi hati atau kepentingan sesetengah pihak.
“Malah pahit getir serta perjuangan dalam memerdekakan tanah air ini jangan sesekali diulang dalam bentuk fizikal mahupun penjajahan dalam bentuk spiritual melalui teknologi, ekonomi dan sosial,” ujarnya.
Katanya, sejarah tidak mungkin berulang, namun semangat juang cintakan negara dan patriotisme masyarakat terdahulu boleh dicontohi dan disemai dalam kalangan generasi sekarang.
Pertandingan Pengisahan Kenegaraan itu juga diserikan dengan penampilan istimewa Mat Congo atau nama sebenarnya Muhammad Haji Salleh.
Turut hadir, Pengarah Penyiaran Sabah, Malinaziah Datu Mohd Julaspi dan Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Yunus Saprin.
-FB