Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Latih Amal Pengurusan Bencana Perlu Berterusan

By 2 Oktober 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan oleh: Asmidar Zainol/ Foto: Johnny Kimlon(Sabah)

 

 

Kota Kinabalu, 2 Okt(Malaysiaaktif) –  Latih amal pengurusan dan pengendalian bencana perlu diadakan secara berterusan bagi memastikan kesiapsiagaan agensi menghadapi bencana.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Amer Yusof berkata, latihan berkenaan bukan sahaja dapat menilai tahap kesiapsiagaan tetapi juga bertujuan menguji Peraturan Tahap Operasi (SOP) serta kelancaran sistem komunikasi dan koordinasi antara agensi sebagaimana termaktub dalam Arahan No.20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) dan Manual SAR Kebangsaan, IAMSAR Malaysia Jidil IV.

“Bencana udara telah termaktub dalam Arahan MKN 20 dan juga Manual SAR Kebangsaan IAMSAR Malaysia Jidil IV dan ia melibatkan peranan serta koordinasi dalam kalangan agensi-agensi yang terlibat.

“Program latihan dan kursus yang bersesuaian perlu dilaksanakan agar dapat meningkatkan keupayaan pegawai-pegawai dalam mengurus dan mengendalikan bencana,” ujarnya.

Antara peserta yang hadir.

Antara peserta yang hadir.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Latih Amal Bencana Udara 2018 (Kemalangan Pesawat di kawasan Lapangan Terbang/ Full Scale Aircraft Crash – Aerodrome) yang disertai 150 peserta daripada agensi kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan sukarela yang hari ini dan berakhir pada 4 Oktober ini di salah sebuah hotel terkemuka, pada Isnin.

Amer turut berharap setiap agensi yang terlibat dapat mengambil peluang dan memberi komitmen yang tinggi dalam menjalani latih amal serta dapat memupuk kesedaran dan kefahaman berkaitan bencana udara.

Sementara itu, Pengurus Besar Perkhidmatan Bomba & Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), Abd Malik Mohd Yunus menjelaskan, latih amal anjuran Malaysia Airports dengan kerjasama JBPM itu bagi memastikan kesiapsiagaan pengurusan kemalangan dan bencana yang melibatkan pesawat udara.

KENANGAN... Para peserta bergambar bersama-sama tetamu kehormat.

KENANGAN… Para peserta bergambar bersama-sama tetamu kehormat.

“Perkembangan pesat industri penerbangan awam pada ketika ini, memberi cabaran terutama dengan kewujudan pesawat bersaiz besar dan faktor kedudukan atau topografi lapangan terbang yang terletak di kawasan yang berkependudukan tinggi, laluan yang sukar dan di tepi laut.

“Kita sentiasa meletakkan tahap perlindungan keselamatan di lapangan terbang pada tahap yang tertinggi dan menepati piawaian yang ditetapkan oleh Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) daripada segenap aspek kesiapsiagaan terutamanya perkhidmatan kebombaan di semua lapangan terbang yang kami kendalikan.

“Oleh itu, pengurusan bencana udara memerlukan pengurusan kolaboratif  daripada pelbagai pihak terutamanya daripada agensi-agensi kerajaan mahupun pihak swasta,”katanya.

Abd Malik turut memaklumkan AFRS sentiasa akan  meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi kemalangan pesawat udara, pihak ICAO telah menetapkan latihan – latihan tahunan iaitu Full Scale Exercise atau Partial Exercise serta Table-Top yang wajib dilaksanakan dan dipenuhi bersama agensi – agensi penyelamat utama yang lain.

Tambahnya, pada masa kini AFRS menggunakan  Airport Emergency Planatau dikenali sebagai AEP sebagai dokumen rujukan dalam menghadapi bencana udara dan ianya selaras dengan Airport Standard Directive 701 – Aerodrome Emergency Planning.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Pelaksanaan Operasi; Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Zainal Azman Abu Seman; Pengarah Piawaian Lapangan Terbang, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),  Dr Zainul Fuad MD Wahi dan Ketua Inspektor, Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kapten Datuk Yahaya Abdul Rahman.

 

 

 

-FB

Tinggalkan komen anda