Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKuala LumpurViral

Mahathir, Wan Azizah Ucap Takziah Atas Pemergian Muhammad Adib

By 18 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau amat sedih atas pemergian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN) di sini malam ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Saya amat sedih menerima berita ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian beliau. Al-Fatihah,” kata Dr Mahathir dalam catatan di akaun Twitternya.

Muhammad Adib, 24, cedera parah susulan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lalu ketika bertugas dalam operasi memadam kebakaran di hadapan premis berkenaan. Allahyarham meninggal dunia pada 9.41 malam ini.

Perasaan hiba turut dikongsi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan Muhammad Adib sebagai wira.

Beliau menegaskan adalah penting buat masa ini untuk seluruh rakyat Malaysia bersatu hati mengecam perbuatan jenayah yang menjurus kepada kematian Allahyarham.

“Kita harus ingat bahawa ini bukan isu agama mahupun soal perkauman akan tetapi merupakan perbuatan jenayah yang dilakukan penjenayah yang tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Wan Azizah turut mengingatkan rakyat Malaysia agar tetap tenang dan tidak bertindak mengikut emosi.

“Seluruh rakyat Malaysia berkabung kerana jenayah kejam ini tetapi biarlah proses undang-undang berjalan dengan lancar,” kata timbalan perdana menteri yang turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh.

Takziah diucapkan buat keluarga termasuk tunang Allahyarham, sahabat handai dan seluruh warga bomba,” katanya sambil menjanjikan keadilan pasti terbela dalam kes kematian anggota bomba itu.

Turut meluahkan perasaan sedih atas kematian Muhammad Adib ialah beberapa anggota kabinet termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Perasaan sama turut dikongsi Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada Ahad, IJN dalam kenyataan menjelaskan keadaan kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur.

Berita pemergian Allahyarham disahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. – BERNAMA/foto: sinaronline

Tinggalkan komen anda