Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Pameran Solo KPF2018 Ketengahkan Identiti Tempatan

By 6 Disember 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

Kota Kinabalu, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Semakin banyak lokasi kunjungan pelancong yang ditawarkan di Kota Kinabalu namun masih tidak dapat menyaingi Jalan Gaya yang unik dan punya identiti sendiri.

Menyelusuri Jalan Gaya pada pagi ahad pastinya banyak jualan dapat dilihat, juga pelbagai watak dapat disaksikan, termasuk urusan tawar menawar membeli barangan.

Selain daripada kawanan burung merpati, jika anda perasan di hujung jalan, ada sebuah kedai gunting dibuka di sana. Sudah lebih 30 tahun usianya, dan sejak itu, rupa dan suasana di dalamnya kekal seperti dahulu kerana tidak pernah dilakukan sebarang penaiktarafan.

Suasana kedai masih dikekalkan semenjak 30 tahun lalu.

Suasana kedai masih dikekalkan semenjak 30 tahun lalu.

Namun itu juga lah yang menarik perhatian juru foto, Idremzizan Idris yang acap kali akan singgah ke kedai gunting itu melepaskan lelah setelah beberapa jam mengetik foto di Jalan Gaya, sejak lima tahun lalu.

Menurut Idremzizan atau lebih dikenali sebagai Jebat, memang sengaja Jalan Gaya dipilih sebagai lokasi tetapnya kerana penceritaan disebalik foto itu tidak akan pernah habis.

“Jalan cerita dan situasinya akan sentiasa berubah dan banyak benda yang saya dapat belajar dengan merakam gambar di sana.

Koleksi foto Jebat berkisar kehidupan di kedai gunting.

Koleksi foto Jebat berkisar kehidupan di kedai gunting.

“Selain itu saya juga dapat kenal masyarakat sekitar dengan lebih dekat dan berkomunikasi bersama mereka, selain merasai bagaimana semangat mereka berniaga pada hujung minggu dan kemudian saya akan mengakhiri perjalanan seharian itu di kedai gunting rambut ini.

“Kedai ini saya anggap istimewa dan satu-satunya yang klasik di jalan ini, dan di sini saya akan duduk serta perhatikan bagaimana mereka pertahan nilai-nilai serta pastikan cara guntingan yang sama dari generasi sebelumnya dan yang penting mereka masih di situ,” jelas Jebat.

Tambahnya juga, beliau berkunjung ke kedai tersebut semenjak masih dikendalikan oleh mendiang bapa kepada pemilik sekarang iaitu Max.

“Saya dapat belajar sesuatu tentang bagaimana mereka perlu bekerja untuk kehidupan hari esok dan sebagai tukang gunting rambut dia boleh menyara kehidupan keluarga, dan tentunya segalanya itu kerana mereka ikhlas melakukan pekerjaan itu.

Max ketika sedang menggunting rambut pelanggan.

Max ketika sedang menggunting rambut pelanggan.

“Semua perkara itulah sebabnya saya suka mengambil gambar dan tidak pernah berhenti dan lebih daripada itu saya jugalah antara pelanggan tetap mereka sejak dahulu,”kata Jebat.

Sementara itu, pemilik kedai gunting rambut, Max turut menghargai usaha Jebat merakamkan momen-momen tersebut di premis miliknya.

Sempena Kinabalu Photo Festival (KFP) 2018 juga, premisnya menjadi lokasi pameran solo milik Jebat yang memaparkan foto-foto rutin harian mereka menggunting rambut pelanggan.

Apa yang manis, antara foto-foto tersebut turut terakam foto mendiang bapanya yang pastinya tidak dapat berulang kembali dan hanya menjadi kenangan manis untuk keluarganya.

Generasi ke-2, Max

Generasi ke-2, Max

“Semasa Jebat minta izin untuk rakam gambar, saya benarkan sahaja dan saya turut berterima kasih kerana dalam pameran ini juga ada gambar mendiang bapa.

“Jebat juga pelanggan tetap saya, selain daripada dia pelanggan yang datang sini memang daripada pelbagai suku kaum.

“Konsep bersahabat di Sabah ini berbeza berbanding tempat lain, kami rapat dalam perpaduan, saya harap gambar yang dirakam dapat menunjukkan pada orang luar tentang budaya yang menarik di negeri ini lebih-lebih lagi kehidupan sebagai seorang tukang gunting,” ujarnya.

Selain daripada pameran solo, KPF yang berjalan selama seminggu hingga 9 Disember ini juga turut mengadakan bengkel yang dikendalikan oleh mentor daripada juru foto tempatan dan luar negara.

Antara mentor tempatan yang berkolaborasi dalam KPF ialah Shamshahrin Shamsuddin manakala daripada luar negara ialah seperti Ahmad Deny Salman dan Agah Permadi daripada Indonesia dan Ahim Rani daripada Brunei.

Abdul Salam

Abdul Salam

Sementara itu, salah seorang juru foto tempatan yang turut membuat pameran solo ialah Abdul Salam Kadirun, 38 yang berasal dari Tawau.

Karya Salam menjurus kepada foto dokumentari mengenai suku Bajau Laut yang dirakamkan di Semporna.

“Sebenarnya saya tertarik dengan cara hidup mereka, cara mereka mencari makan setiap hari dengan menyelam dan memukat untuk mencari ikan dan kima.

“Pada mulanya saya hanya menemankan kawan dari Amerika yang sedang mencari kumpulan etnik yang masih hidup secara nomad, lantas saya cadangkan supaya mereka ke Semporna dan berkenalan dengan suku Bajau Laut yang masih menjalani kehidupan di atas perahu.

Koleksi foto Salam yang diletakkan di Fruto, Jalan Dewan.

Koleksi foto Salam yang diletakkan di Fruto, Jalan Dewan.

“Bila saya sampai ke sana, saya turut tertarik melihat kehidupan mereka dan saya rasa perlu juga membuat dokumentasi mengenai kehidupan suku kaum ini.

“Sebenarnya ini hanya pengenalan, saya belum ke sana secara serius kerana buat masa ini saya masih membuat kajian tentang suku Bajau Laut.

“Kalau tidak ada halangan saya akan ke sana untuk beberapa minggu, dan kembali semula untuk tunjukkan kepada mentor saya hasil kerja tersebut dan kembali lagi ke sana mencari gambar yang diperlukan,” jelas Salam.

Sesi perkongsian Salam bersama juru foto

Sesi perkongsian Salam bersama juru foto

Katanya juga, sepanjang lima hari karyanya dipamerkan, terdapat banyak pendapat yang diperolehnya melalui catatan buku yang disediakan di pameran tersebut.

Menurutnya, pameran solo seperti ini memberi banyak kebaikan dan sangat perlu peluang begini diberikan kepada jurufoto kerana selain dapat mengketengahkan budaya tempatan, ia membantu menarik pelancong luar untuk berkunjung ke sesuatu tempat.

EM

Tinggalkan komen anda