Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Keselesaan Medan Selera Pasar Selayang Baru Akan Dipertingkatkan

By 3 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Kemudahan di Pasar Selayang Baru khasnya kawasan medan selera akan dipertingkatkan untuk keselesaan pengunjung dan masyarakat sekitar kawasan Selayang Baru dan Sungai Tua.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pertambahan penduduk dan pengunjung ke pasar harian khasnya medan selera menuntut penyelesaian isu-isu tertunggak di pasar tersebut.

“Kerajaan negeri sentiasa cuba mengenal pasti apa yang baik untuk peniaga di sini kerana tempat ini merupakan lokasi pertemuan penduduk khususnya di kawasan Sungai Tua dan Selayang Baru.

“Kita mahu pastikan tempat yang lebih selesa dan perbincangan untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak khasnya berkenaan penempatan peniaga-peniaga dan penjaja-penjaja,” katanya.

Jelas Amirudin, pasar tersebut begitu sinonim bagi dirinya kerana menjadi kelaziman beliau berkunjung ke tempat tersebut setiap kali turun padang.

Amirudin Shari bersembang santai dengan pengunjung medan selera Pasar Harian Selayang Baru.

Amirudin Shari bersembang santai dengan pengunjung medan selera Pasar Harian Selayang Baru.

“Lokasi pasar baharu telah siap, mengikut perjanjian peniaga dan penjaja Pasar Harian Selayang Baru perlu berpindah pada tahun 2006, namun ianya tertangguh.

“Keadaan tempat yang ditawarkan itu kurang sesuai menyebabkan ianya tertangguh sehingga kini,” katanya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sarapan Pagi Bersama Rakyat di Medan Selera Pasar Harian Selayang Baru, di sini hari ini.

Menurut Amirudin lagi, pasar tersebut sangat istimewa kerana ia menjadi tempat pertemuan selain tempat membeli barangan di pasar harian.

“Medan selera ini pula menyediakan pelbagai makanan tradisional masyarakat Melayu Cina dan India. Ianya menjadi tempat pertemuan secara semulajadi,” ujarnya.

Tambah Amirudin, ia merupakan satu perkara yang baik namun perlu diperkemaskan untuk mengelakkan kesesakan akibat pertambahan penduduk.

“Insya Allah kita akan selesaikan pada tahun 2019 ini, sama ada perlu berpindah ke tempat baru atau menggunakan formula baru untuk selesaikan isu-isu yang tertunggak itu,” katanya.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda