Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

KKMM Beri Penekanan Industri Kreatif Di Sarawak – Gobind

By 15 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUCHING, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) memberikan penekanan kepada industri kreatif, khasnya di Sarawak menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Sarawak, kata menterinya Gobind Singh Deo.

Inisiatif tersebut merupakan antara enam teras nasional KKMM dalam meningkatkan perkhidmatan penyampaian maklumat dan kandungan di setiap agensinya bagi tahun ini.

Beliau berkata industri kreatif memainkan peranan penting dalam mempersembahkan keistimewaan yang ada di negeri ini dan tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur sahaja.

“Dengan jumlah penduduk yang ramai, contohnya di Sarawak yang mempunyai 2.4 juta orang penduduk, saya percaya pasti ada di antara mereka di luar sana yang mempunyai idea kreatif dan bakat terpendam dalam menghasilkan kandungan yang terbaik,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat KKMM di Auditorium P.Ramlee di sini, hari ini.

Justeru itu, katanya kementerian meminta Finas untuk memulakan proses ‘pitching’ di sini dan mencari orang yang terlibat dalam pembuatan filem, cerita pendek, dokumentari dan sebagainya untuk mengemukakan cadangan.

Ini adalah lawatan kerja sulung Gobind Singh Deo ke Sarawak selepas dilantik sebagai Menteri KKMM pada Mei tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau juga mahu agensi di bawah kementerinya iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penerangan menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti dan terkini.

“Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat, RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan haruslah efektif, pastikan maklumat yang disalurkan kepada rakyat adalah tepat, pastikan mesej yang disampaikan itu sama dengan konteks asal,” katanya.

Seramai 300 warga agensi di bawah KKMM, iaitu Jabatan Penerangan, RTM, Bernama, Finas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Telekom Malaysia dan Pos Malaysia menyertai Majlis Amanat tersebut. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda