Skip to main content
HomeLabuan

Pakej Sabah-Labuan Bakal Bawa Masuk Pelancong Ke Labuan

By 18 Januari 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/ foto: Md Khairul Azad Yunus/ Jeffrey Nian

LABUAN, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Pakej Pelancongan Sabah-Labuan bakal membawa masuk pelancong-pelancong luar ke Labuan bersesuaian dengan projek feri berkelajuan tinggi yang akan dilaksanakan dalam masa enam bulan.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Dato Sri Amir Hussien, inisiatif itu adalah hasil kerjasama erat antara PL dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Kita akan terus memberi fokus kepada sektor pelancongan di Labuan dan inisiatif ini akan menjadikan Labuan sebagai destinasi wajib bagi pelancong yang datang ke Sabah.

“Projek feri berkelajuan tinggi yang mampu memuatkan 300 penumpang itu pula menelan kos sebanyak 8 juta USD dan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta, pada yang sama pihak swasta itu juga akan membuka kedai-kedai bebas cukai bertaraf antarabangsa yang akan menjual barangan berjenama antarabangsa di sekitar kawasan Terminal Feri Lama,” katanya.

Tambahnya, PL akan menjemput beberapa pelabur luar dan pengusaha hotel ternama dalam masa terdekat untuk melihat sendiri potensi serta kawasan yang boleh dimajukan sebagai pusat pelancongan seiring dengan hasrat PL yang ingin menonjolkan Labuan bukan sahaja sebagai pusat pelancongan tetapi sebagai syurga membeli – belah.

Amir turut memaklumkan bahawa beberapa buah syarikat  menunjukkan minat untuk membeli Hotel Labuan.

“Jika semua proses berjalan lancar dalam masa tiga ke lima bulan kita boleh melihat perkembangan positif mengenai perkara ini.

“Mereka juga berminat untuk melabur sekitar RM 2 juta bagi memasang skrin besar LED di dataran Labuan,” katanya lagi.

Selain inisiatif pelancongan itu, Amir turut mengumumkan beberapa projek-projek keindahan dan keceriaan yang akan dibangunkan di Labuan antaranya menaiktaraf taman di Jalan Muhibah.

“Projek menaiktaraf yang dijangka bermula pada bulan Februari adalah sebagai usaha mencapai misi Perbadanan Labuan iaitu meningkatkan prasarana yang berkualiti dan lebih ceria serta mentransformasikan perkhidmatan perbandaran agar menjadi lebih efisyen dan mesra pengguna.

“Konsep yang diketengahkan adalah Taman dalam Pulau, yang bercirikan mesra warga Labuan berbanding konsep asal iaitu Taman London ditambah pula dengan rekaan struktur serta ukiran yang bercirikan hidupan laut diterapkan berdasarkan keunikan sedia ada kepulauan ini,” katanya pada satu sidang media di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan, pagi tadi.

Jelasnya lagi, antara projek lain yang bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat adalah projek pencahayaan dan keceriaan di kawasan Medan Selera Labuan dan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan (KSLA), projek tempat letak kereta Medan Selera Labuan, projek tandas awam di Taman Marina Awam selain bangunan lima tingkat projek penswastaan antara Perbadanan Labuan bersama tetuan Hotel Aifa Sdn Bhd yang sudah sedia untuk menerima tempahan sewaan.

EM

Tinggalkan komen anda