Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Selangor Komited Untuk Majukan Bidang Dakwah Dan Hafazan Al-Quran – Amirudin

By 25 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto : Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)

SHAH ALAM, 25 Jan (Malaysiaaktif) – “Majlis yang diadakan ini akan memberi ruang dan peluang kepada umat Islam untuk sama-sama berfikir, bermuhasabah dan seterusnya berusaha mempereratkan ikatan persaudaraan demi kebaikan umat Islam di negeri ini dan kerajaan negeri Selangor sentiasa komited untuk memajukan bidang dakwah dan hafazan Al-Quran di negeri ini”, ucap Menteri Besar Selangor ketika merasmikan Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor bertempat di Dewan Syarahan Dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam kelmarin.

“Majlis ini akan memperkukuhkan dan menyemarakkan lagi tilawah Al-Quran dan juga hafazan di kalangan umat Islam di negeri Selangor”, tambah Amirudin.

Menurut beliau lagi, saban tahun dapat melihat pertambahan ribuan anak-anak kita yang penuh semangat ingin menjadi huffaz dan sudah tentu cita-cita itu adalah sesuatu yang unik.

“Oleh itu, kerajaan negeri pada pembentangan belanjawan yang lepas telah melulus dan memperuntukkan sebanyak RM1.94 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk melaksanakan program ‘fast track peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)’ kepada sekolah tahfiz persendirian sepenuh masa kerajaan negeri. Tujuannya adalah untuk membantu dan memudahkan urusan pelajar tahfiz dari sekolah persendirian untuk menduduki SPM dalam tempoh yang singkat iaitu selama setahun”, ujar Amirudin.

Beliau turut menyatakan kerajaan negeri melalui JAIS berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam penyediaan program kecekapan Pendidikan Latihan Vokasional Dan Teknikal (TVET) di mana pelajar tahfiz yang tidak mempunyai kokurikulum seperti yang ada sekarang akan disediakan dengan kemahiran tertentu.

“Dengan ini, ia akan membuka peluang lebih cerah kepada pelajar-pelaja tahfiz ini untuk melanjutkan pengajian dan seterusnya menyediakan mereka untuk melangkah ke alam pekerjaan dan bersaing dalam bidang tertentu”.

Seramai 69 peserta terdiri daripada lelaki dan perempuan menyertai pertandingan pada kali ini yang bermula dari 22 Januari hingga 25 Januari 2019 dan kali ini dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Tilawah Al-Quran, Hafazan Juzuk 1-10, Hafazan Juzuk 1-20 dan juga kategori Hafazan Juzuk 1-30. Peserta yang berjaya akan mewakili negeri Selangor ke peringkat kebangsaan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kasim.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda