Skip to main content
HomeJohor

Inovasi Bunga Kantan

By 25 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/foto: Latifah Salleh/Ezzaty Razimi (Muar)

MUAR, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Baunya yang harum dan semerbak menjadi penyedap dan penambah rasa bagi setiap masakan tidak kira apa jua juadah, antaranya asam pedas dan nasi kerabu.

Pokok bunga kantan atau nama saintifiknya Etlingera elatior tergolong dalam tumbuhan herba yang boleh hidup sepanjang musim dan membiak melalui rhizome atau umbisi.

Melalui kaedah rhizome, jumlah anak benih daripada pokok kantan agak sukar diperolehi dalam kuantiti yang banyak pada satu tempoh masa tertentu menjadikan pertumbuhan pokok ini tidak seragam dan peratusan untuk hidup melalui kaedah ini agak rendah.

Wakil daripada setiap jabatan dan agensi berkaitan turut hadir

Wakil daripada setiap jabatan dan agensi berkaitan turut hadir

Sejajar dengan permintaan terhadap bunga kantan yang semakin meningkat saban hari, satu kaedah inovasi pembiakan tanaman pokok bunga kantan telah diperkenalkan melalui semaian biji benih.  Kaedah inovasi ini berjaya mengatasi masalah untuk mendapatkan anak benih pokok yang seragam dalam skala yang besar serta pada masa yang sama dapat menampung permintaan anak benih dalam kuantiti yang banyak.

Hamidi Yaakob, 41, pengusaha pokok bunga kantan ditemui dalam bicara tani berkata, beliau mula berjinak dengan penanaman pokok bunga kantan ini sejak tahun 2007 secara kecil – kecilan. Kini beliau telah berjaya meluaskan penanaman pokok bunga kantan sehingga mampu membekalkan ke seluruh pasar raya bumiputera yang berdekatan bagi memenuhi permintaan semasa.

“Saya juga turut mengajak penduduk tempatan untuk turut bersama – sama menanam pokok bunga kantan di mana pada masa sama memberi mereka peluang menjana pendapatan,” ujar pemenang Anugerah Inovasi Petani peringkat Negeri Johor 2018.

Dr Sahrudin melawat gerai pameran pengusaha - pengusaha kecil

Dr Sahrudin melawat gerai pameran pengusaha – pengusaha kecil

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor, Dr. Sahruddin Jamal yang ditemui menyatakan, program Bicara Tani dengan kerjasama daripada pelbagai jabatan dan agensi seperti ini merupakan salah satu platform yang baik dan memberi manfaat kepada masyarakat tempatan serta perlu diteruskan di masa akan datang.

Beliau berkata, “setiap keluhan dan pandangan masyarakat tempatan yang dibangkitkan dalam Bicara Tani ini akan diambil serius dan tindakan susulan akan diambil segera oleh jabatan dan agensi yang bertanggungjawab termasuklah saya sendiri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor.”

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr. Sahruddin Jamal dan turut dihadiri oleh pegawai kerjaan negeri yang lain.

EM

Tinggalkan komen anda