Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Kampung Bako Kini Terhubung Dengan Tanah Besar Bako

By 25 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

BAKO, 25 Feb  (Malaysiaaktif) – Penantian penduduk Kampung Bako terhadap jalan dan jambatan puluhan tahun yang lalu kini sudah terlerai apabila siapnya jambatan Bako yang menelan belanja RM 41.29 juta. Jambatan sepanjang 280 meter ini telah dirasmikan oleh Datuk Patinggi Abang Johari, Ketua Menteri Sarawak Semalam.

Jambatan ini mula dibina pada bulan Mac 2016 dan siap sepenuhnya pada awal Februari 2019. Penantian puluhan tahun menanti satu jalan akses dari Daerah Tanah Muara Tebas  atau ‘tanah besar Bako’ ke Kampung Bako bagaikan hadiah terbesar diterima penduduk kampung yang terdiri dari Kampung Bako Hilir, Ulu, Tengah dan Bako Lot.

Majlis perasmian Jambatan Bako oleh Ketua Menteri Sarawak

Majlis perasmian Jambatan Bako oleh Ketua Menteri Sarawak

Jalan akses sepanjang tiga kilometer sehingga ke Kampung Bako ini sudah tentunya memberi manfaat kepada penduduk seramai 8,000 orang yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan petani secara kecil-kecilan.

Sebelum ini penduduk menggunakan perkhidmatan tambang ke seberang yang bermula awal pagi sehingga 7.00 malam dan terdapat juga yang menggunakan perahu sendiri jika hendak balik lewat malam. Dengan adanya jalan perhubungan ini sudah tentu penduduk tidak lagi menggunakan perahu tambang dan tidak risau dengan kenderaan yang diletakkan di seberang seperti sebelum ini.

Menurut Shafie, penduduk dari Kampung Kampung Bako Tengah, beliau sangat gembira dengan siapnya jambatan ini.

“Saya amat gembira kerana penantian kami sebagai generasi awal di kampung ini dapat merasa jalan sehingga ke kampung ini. Saya bersyukur kerana pemintaan kami selama ini didengar oleh pemimpin negeri,” tambah beliau lagi.

Jambatan Bako penghubung Kampung Bako dengan tanah besar Bako

Jambatan Bako penghubung Kampung Bako dengan tanah besar Bako

Kehadiran jambatan dan jalan juga dapat menjana ekonomi penduduk setempat. Antara ekonomi penduduk yang boleh dikembangkan ialah penjualan makanan berasaskan ikan ‘homestay’ dan bot persiaran.

Sebelum ini penduduk menjual produk dari ikan seperti ikan masin, salai, keropok dan sebagainya dijual di gerai-gerai di ‘tanah besar’ Bako. Kini penduduk boleh menjual sendiri di warung masing-masing di kampung.

 

Jalan akses ke kampung ini  juga akan menggalakkan sektor pelancong setempat di mana dijangka pelancong dalam dan luar negeri akan berkunjung ke Kampung Bako. Lagi pula kawasan ini berdekatan dengan Taman Negara Bako.

Penduduk juga boleh mengusahakan bot pelayaran membawa pelancong menyusuri Taman Negara dan juga Sungai Bako melihat keindahan alam fauna dan flora semulajadi.

“Saya berharap penduduk kampung ini mengambil peluang daripada pembangunan jambatan dan jalanraya yang disediakan oleh kerajaan,” ujar Sanusi penduduk dari  Kampung Bako Lot.

“Kami juga tidak lagi menggunakan bot untuk berkunjung ke rumah saudara-mara yang menetap di Kampung Bako,” tambah Ibrahim yang tinggal di kawasan Petra Jaya.

Dengan adanya jambatan dan jalan raya yang terus ke Kampung Bako, kini telah menjimat masa, tenaga dan wang ringgit penduduk kampung. Mereka amat berterima kasih kepada kerajaan kerana dapat memenuhi keperluan yang telah lama diidam-idamkan.

 

Tinggalkan komen anda