Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Kampungku Sihat Promosi Kepentingan Cegah Penyakit Peringkat Awal

By 25 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis/Saiful Haidar Salleh (Langkawi)

LANGKAWI, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Kampungku Sihat mendekati masyarakat luar bandar dengan mempromosikan kepentingan mencegah penyakit menerusi pemeriksaan kesihatan dan gaya hidup sihat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menjelaskan saringan kesihatan kepada masyarakat sangat perlu dilakukan untuk mengesan penyakit kencing manis dan penyakit-penyakit lain pada peringkat awal supaya rawatan dapat diberikan seterusnya dapat mengelak daripada komplikasi penyakit.

“Program ini melibatkan 350 orang pelatih dari Institusi Latihan KKM yang menjalankan pemeriksaan kesihatan asas dari rumah ke rumah. Diharapkan program ini dapat memberi pendedahan kepada pelatih untuk sentiasa peka dengan permasalahan kesihatan serta dapat melibatkan diri secara aktif dalam program kemasyarakatan,” katanya sempena Pelancaran Program Kampungku Sihat Peringkat Kebangsaan, di sini semalam.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyifatkan Program Kampungku Sihat merupakan titik sentuhan dalam menyantuni masyarakat melalui kolaborasi agensi-agensi di bawah KKM.

Dr. Mahathir (berbaju merah) sempat beramah mesra bersama-sama pelatih, di sini semalam.

Dr. Mahathir (berbaju merah) sempat beramah mesra bersama-sama pelatih, di sini semalam.

“Sekarang kita perlu berusaha untuk tidak mendapat penyakit. Seperti mengelak kepada benda-benda yang boleh menyebabkan penyakit sebagai contoh rokok yang boleh mengakibatkan kanser paru-paru.

“Ramai yang tidak paham bahawa ada penyakit yang kita boleh elak. Kawasan persekitaran yang bersih amat penting untuk gaya hidup sihat,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini.

Program ini diharap dapat memberi nasihat kepada penduduk setempat bagi memastikan kawasan persekitaran mereka bersih serta kepentingan untuk mengelak daripada penyakit kerana kos untuk berubat sesetengah penyakit amat tinggi.

Salah seorang pelatih Nur Salwa Ahmad Damanhuri, 20, berkata pengalaman ini amat bermakna apabila pergi daripda satu rumah ke satu rumah berjumpa penghuni yang tidak pernah langsung menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Sedih apabila tengok ada yang terlantar sakit tapi tidak mampu ke klinik atas kekangan kewangan,” ujarnya.

Langkawi merupakan kawasan pertama program ini dilangsungkan, sebelum pelatih menjelajah ke seluruh negara untuk memberi khidmat pemeriksaan asas kesihatan kepada masyarakat luar bandar seterusnya mengurangkan kadar peratusan penyakit tidak berjangkit.

-SH
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda