Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Isu Terpencil, Mahu Siasatan Rapi – MB

By 22 Februari 2019Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Selangor)

SEMENYIH, 22 Feb – Kejadian meletakkan patung berhala di sebuah surau merupakan kes terpencil dan rakyat dinasihatkan agar tidak melayan sebarang karenah untuk menganggu keharmonian di Selangor.

Demikian ditegaskan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari tentang kejadian pihak tertentu yang sengaja meletakkan patung berhala di sebuah surau di Klang, kelmarin.

“Saya berharap kita tidak melayan terhadap sebarang karenah. Ini adalah isu terpencil yang cuba untuk memprovokasi masyarakat terhadap keharmonian dan permuafakatan yang ada di negeri Selangor.

“Justeru, sebagaimana ucapan saya ketika menjunjung kasih di atas keputeraan Duli Yang Maha Mulia (Sultan Selangor), bahawa ekstremisme dan juga sikap melampau tidak boleh wujud serta tidak akan dilayan,” katanya.

Namun, Amirudin akui bahawa terdapat pihak tertentu yang cuba memainkan isu tersebut dan mahu pihak berkuasa membuat siasatan rapi.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba untuk mengapi-apikan dan melaga-lagakan suasana serta keharmonian yang telah wujud selama ini,” tegas Menteri Besar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin bersama 150 penduduk di Masjid Kariah Kampung Pasir Baru, di sini semalam.

Kelmarin, jemaah Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah dikejutkan apabila menemui sebuah patung berhala yang dikalungkan bunga diletakkan pihak tidak bertanggungjawab di pintu masuk utama surau tersebut.

Sehubungan itu, pihak surau telah membuat satu laporan di Balai Polis Pandamaran, Klang Selatan dan menyerahkan patung itu untuk siasatan selanjutnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda