Skip to main content
HomeJohor

Labis sebagai Hub Daerah Kraf dan Bandar Gasing

By 11 Februari 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/ foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)/ Khairul Hadi (Pejabat Daerah Segamat)

SEGAMAT, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Industri Kreatif dalam kraf dijangka semakin berkembang di Malaysia menjelang tahun 2035 berdasarkan Laporan Akhir Mega Science 3.0 – Creative Industry Sector oleh Akademi Sains Malaysia.

Jualan kraf ini dijangka meningkat kepada RM1.02 bilion menjelang tahun 2025 dan RM2.2 bilion pada 2035, dengan sumbangan sebanyak dua peratus kepada industri kreatif.

Apa yang lebih menarik adalah penyertaan 3,471 wanita atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan usahawan kraf membuktikan wanita sebagai aset penting yang berupaya memacu pertumbuhan industri kraf negara ke tahap lebih tinggi.

Lawatan ke Booth Karnival Kraf dan Pelancongan Labis 2019

Lawatan ke Booth Karnival Kraf dan Pelancongan Labis 2019

“Dengan adanya program sedemikian ini, ianya bukan sahaja telah menjenama nama Labis malah dapat menjana pendapatan kepada pemain industri yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam aktivtiti pelancongan tempatan.

“Produk hiliran boleh diperkenalkan kepada pelancong dalam dan luar negara seperti program Agro dan Eco Tourism di mana dalam siri lawatan ke industri kecil dan sederhana (IKS) seperti dusun buah-buahan, tanaman dan bungaan, perusahaan kuih tradisional, lawatan ke taman reakrasi air panas, hutan lipur dan hutan alam semulajadi, ” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Negeri Johor, Liow Cai Tung pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Kraf & Pelancongan Labis 2019, di sini, semalam.

Tambah beliau “Selain daripada itu, pengenalan dalam acara kebudayaan seperti tarian zapin, kuda kepang tarian singa, silat dan ghazal dalam program pelancongan termasuk acara sukan rakyat seperti permainan gasing, congkak, tarik tali dan permainan orang asli seperti kercang turut diketengahkan agar relevan sepanjang zaman. Adalah sangat penting kepada usahawan kraf agar menerokai perkara baharu terutamanya teknik pengeluaran serta kaedah pemasaran digital supaya mampu memaksimumkan pendapatan.

“Bersesuaian dengan daerah kecil Labis sebagai hub Daerah Kraf dan Bandar Gasing serta kewujudan Pusat Kraf dan IKS di sini membolehkan industri kraf berkembang dengan rancangan yang lebih baik. Industri kraf bukan saja memberi manfaat kepada usahawan kraf, malah memberi limpahan faedah kepada industri lain termasuk pelancongan, inap desa, sektor perkhidmatan dan industri hiliran.”

Antara peserta yang menyertai Pertandingan Gasing Antarabangsa termasuk peserta daripada  Singapura.

Antara peserta yang menyertai Pertandingan Gasing Antarabangsa termasuk peserta daripada Singapura.

Pengerusi Pertandingan Gasing Antarabangsa, Zulkarnain Esa menyatakan perasaan bersyukur Kerajaan Negeri telah memberi peluang kepada Daerah Kecil Labis menjadi hub Bandar Gasing dan mengharapkan pertandingan gasing antarabangsa ini dimasuki ke dalam kalendar tahun pelancongan negeri Johor.

“Pertandingan Gasing Antarabangsa julung kalinya diadakan di Daerah Kecil Labis pada tahun ini setelah dua tahun berturut-turut ditangguhkan atas sebab masalah teknikal,” katanya.

Pada tahun ini penyertaan amat memberangsangkan dengan penglibatan daripada negeri Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur., Putrajaya, Pahang, Johor, Perak dan Singapura.

Turut hadir, Ahli Parlimen Labis, Pang Hock Liong, ADUN Kawasan Tenang, Mohd Solehan Badri, yang dipertua Majlis Daerah Labis selaku wakil rasmi Pegawai Daerah Segamat, Sharil Nizam Abdul Rahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kemelah, Dr Sulaiman Md Nor, ADUN Kawasan Jementah Tan Chen Choon, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Johor, Madglane Tuburng Melai, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Johor, Mahmud Kadar, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor, Zaifri Husin dan Pengerusi Coop Smilian, Hamdan Ibrahim.

EM

Tinggalkan komen anda