Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerlis

Penduduk Kampung Berpesta Menyauk

By 11 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Sufian Kamarudin (Perlis)

ARAU, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Musim kemarau mungkin tidak disenangi sebilangan masyarakat kerana cuacanya yang panas dan memberikan ketidakselesaan kepada orang ramai, tetapi tidak di sini apabila penduduknya membawa penyauk berkerumun di sebatang sungai kecil untuk menangkap beberapa spesis ikan air tawar seperti haruan,keli, sepat dan puyu di Kampung Tebuk Arau.

Bagi penduduk kampung, Hidayah Budin, 38, berkata beliau datang ke kawasan berkenaan sejak pagi lagi untuk menangkap ikan bagi sajian keluarga.

“Saya dapat tahu daripada rakan yang kata ramai orang menangkap ikan air tawar dekat sini, jadi saya datang bawa sauk sekali. Memang banyak, tidak sampai satu jam di sini, dianggarkan lebih lima kilogram ikan saya dapat sauk, dapat juga dijadikan sajian buat keluarga,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

selain menyauk, penduduk juga menimba telaga bagi mendapatkan hasil tangkapan.

selain menyauk, penduduk juga menimba telaga bagi mendapatkan hasil tangkapan.

Beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan baginya pada musim kemarau mencari ikan air tawar.

“Apabila musim kemarau, paras air sungai dan tali air menjadi semakin surut, dan ini akan memudahkan lagi proses menangkap ikan dengan mengunakan penyauk ,” tambahnya.

Sementara itu, menurut Wan Ahmad Zikri, 36, selain menggunakan kaedah sauk, penduduk turut menggunakan kaedah menimba telaga.

Aktiviti menangkap ikan yang dikenali sebagai menimba telaga oleh penduduk kampung ini sering diadakan apabila tiba musim angin timur. Fenomena cuaca panas menyebabkan beberapa sungai di kampung tersebut menjadi cetek dan kering sepenuhnya.

“Memandangkan paras air sungai yang semakin cetek, saya dan rakan-rakan sepakat untuk menjalankan aktiviti menimba telaga.

“Kami sering melakukan aktiviti ini setiap tahun apabila tiba musim timur. Biasanya kami menimba di kolam peliharaan tetapi kali ini kami mencuba untuk lakukan di sungai kerana air kering dan selamat untuk ditimba,” katanya.

Tambahnya lagi, hasil dari tangkapan akan diagihkan kepada peduduk kampung dan sebahagianya akan dijual.

-SH

Tinggalkan komen anda