Skip to main content
Berita TempatanHomeKedah

MANAR Terima Kompleks Baharu

By 25 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Sarah Abdul Halim/Mahrani Mohamad (Putrajaya)

KULIM, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Maahad Annafisah Arrahimiah (MANAR) Karangan, menaik taraf pusat tahfiz tersebut sebagai Kompleks Pendidikan Tahfiz Manar yang akan mempunyai pelbagai fasiliti demi keselesaan pelajar mereka yang semakin hari semakin bertambah.

Menurut Pengerusi MANAR, Abdul Rahim Omar, ibu bapa pada hari ini semakin celik akan kepentingan ilmu agama dalam pembentukan perkembangan anak-anak.

“Pada zaman yang serba canggih dan teknologi yang melangkaui batasan ini anak-anak dilihat mudah terpengaruh dengan media sosial dan media siber.

“Di sini kami menerapkan nilai-nilai murni seorang muslim dan mengisi masa lapang mereka dengan mendekati al-Quran agar waktu mereka tidak berlalu dengan sia-sia,” ujar Abdul Rahim ketika berucap sempena majlis Perasmian Kompleks Pendidikan Tahfiz Manar, di sini semalam.

Pegawai Daerah dan Tanah Kulim, Mohamad Che Nai, berkata kerajaan negeri sentiasa menyahut dan menyokong mana-mana pusat tahfiz yang berdaftar untuk menaik taraf dan menjadikan pusat tahfiz setaraf sekolah antarabangsa.

Mohamad Che Nai (berkopiah hitam) menandatangani replika cek RM3000 sumbangan dari Pejabat Daerah dan Tanah Kulim.

Mohamad Che Nai (berkopiah hitam) menandatangani replika cek RM3000 sumbangan dari Pejabat Daerah dan Tanah Kulim.

“Ramai pihak memberikan sokongan usaha kemajuan dan pembangunan MANAR ini termasuk Jabatan Mufti Negeri Kedah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Pusat Tahfiz MANAR telah banyak berjasa memberi sumbangan ilmu pengetahuan kepada pelajar khususnya dan penduduk setempat amnya,” ujarnya.

Menurut bapa kepada seorang pelajar pusat tahfiz ini, Asri Hashim, beliau berbangga dengan pencapaian anaknya yang mampu menghafal al-Quran dalam waktu yang singkat.

“Pada mulanya saya tidak meletakkan harapan untuk anak saya berjaya lebih daripada orang lain tetapi apabila selepas tiga bulan dia mampu menghafal separuh daripada keseluruhan al-Quran dan menunjukan perubahan membuat saya yakin untuk menghantar adik-adiknya mengikut jejak abang mereka,” ujarnya.

-SH

Tinggalkan komen anda