
Laporan/foto: Mohd Afnan Hakimi Abd Aziz/Suhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)
MARANG, 21 Feb, (Malaysiaaktif) –`Peers Support Team Institusi’ dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr. Wan Ismail, di sini hari ini.
Pelancaran sempena Program Turun Padang Wan Azizah ke Institusi Kanak-Kanak Sekolah Tunas Bakti (Perempuan) Marang yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, menempatkan remaja perempuan yang melakukan pelbagai kesalahan jenayah.
Menurut Wan Azizah, pihak kementerian diberi tanggungjawab dan amanah untuk memberi perlindungan dan penjagaan pemulihan kepada kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang dan keluarga bagi mengelakkan mereka mengulangi kesilapan lampau.
“Selain itu, isu jenayah dalam kalangan kanak-kanak juga sering menjadi perhatian media sosial sama ada kanak-kanak menjadi mangsa dan pesalah. Berdasarkan laporan Jabatan Kebajikan masyarakat (JKM), bilangan kanak-kanak yang terlibat dalam jenayah dilaporkan agak membimbangkan dan meningkat saban tahun,” katanya.
Wan Azizah berharap agar setiap pegawai dan kakitangan institusi khususnya JKM dapat menanam semangat dan tanggungjawab untuk terus membantu serta memulihkan kanak-kanak yang bermasalah.
Masyarakat pula haruslah memainkan peranan memberi kanak-kanak peluang kedua dalam kehidupan kerana mereka ini adalah aset kepada negara.
EM