Skip to main content
HomeJohor

Wanita Mengandung Tiga Bulan Antara Mangsa Wabak Denggi

By 22 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/Foto: Norhasliza Hamzah/Mohd Zainuri Abdul Rahman (Segamat)

SEGAMAT, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Seorang wanita mengandung tiga bulan di Taman Muhibbah, Chaah, Segamat antara empat kes denggi yang dilaporkan semalam.

Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Zaid Kassim berkata, empat kes ini melibatkan wanita mengandung tiga bulan yang telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat manakala dua kes ditempatkan di wad biasa dan satu kes mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Chaah.

Menurutnya, dua kawasan ‘hotspot’ dikenal pasti iaitu Jalan Perwira 6 dan Jalan Perwira 12 di Taman Muhibah, Chaah.

Sampah sarap antara punca pembiakan nyamuk aedes

Sampah sarap antara punca pembiakan nyamuk aedes

“Aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat pembiakan nyamuk serta semburan ruang thermal (fogging) telah dilaksanakan semalam dalam tindakan pembersihan tempat pembiakan jentik-jentik bagi menghalang penularan wabak denggi,” katanya.

Menurut Zaid, sehingga minggu ke 7 2019, daerah Segamat mencatatkan 30 kes, peningkatan sebanyak 87.5% berbanding tahun sebelumnya dengan mukim Sungai Segamat mencatatkan kes denggi tertinggi iaitu sebanyak 10 kes diikuti mukim Labis, Chaah dan Jementah masing-masing tiga kes, manakala dua kes bagi mukim Buloh Kasap dan Gemas dan masing-masing satu kes dicatatkan pada mukim Sermin dan Gemereh.

“Orang ramai perlu mengambil langkah-langkah pencegahan seperti sentiasa melakukan pemeriksaan sendiri dan memusnahkan pembiakan aedes di rumah atau premis masing-masing bagi mengelak dijangkiti denggi,” tegasnya.

Beg plastik dan bekas plastik berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk sekiranya menakung air.

Bekas plastik berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk sekiranya menakung air.

Sementara itu, menurut Pegawai Perubatan Unit Epidemiologist, Pejabat Kesihatan Daerah Segamat, Dr. Ahmad Nizal Mohd Ghazali, saman akan dikeluarkan maksimum sebanyak RM500 dan sebarang rayuan pengurangan tidak akan dilayan sekiranya didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes terutama di kawasan wabak.

“Langkah seperti memastikan kawasan semak dan longgokan sampah-sarap terutama barangan yang menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dihapuskan serta mengurus pembuangan sampah dengan lebih baik dapat membanteras penularan denggi.

“Selain itu,  Pejabat Kesihatan daerah turut mengatur gerak kerja gotong-royong pada Ahad ini, 24 Februari, jam 7.30 pagi bagi membersihkan kawasan wabak dan masyarakat setempat turut digalak mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran premis dan kediaman masing-masing,” ujarnya.

EM

Tinggalkan komen anda