Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Baktinya Masih Ditagih

By 21 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto :Suhaimi Nik Wil/Zulfadli Abd Hamid(Kuala Krai)

KUALA KRAI, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Perkhidmatan Feri Pasir Kelang merupakan satu-satunya pengangkutan air yang menghubungkan antara bandar Kuala Krai dengan Kampung Pasir Kelang serta kampung-kampung di seberang Sungai Kelantan.

Perkhidmatan feri ini diuruskan oleh Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad untuk perkhidmatan terhadap 12,000 penduduk seberang Sungai Kelantan seperti Kampung Taku, Kampung Buyong, Kampung Sokor, Ladang Sokor, Ladang Taku dan Pasir Kelang.

Meskipun Kampung Pasir Kelang dan kampung sekitarnya telah ada kemudahan asas namun keperluan urusan di pejabat kerajaan masih di Bandar Kuala Krai. Bakti feri ini masih ditagih oleh 200 hingga 300 orang pengguna saban hari terutama masyarakat Kampung Pasir Kelang. 19 orang guru Sekolah Kebangsaan Pasir Kelang, tiga orang guru tadika, dan dua orang jururawat antara kakitangan awam pengguna tetap feri ini saban hari.

Menurunkan penumpang dan kenderaan

Menurunkan penumpang dan kenderaan

Bakti perkhidmatan feri ini masih diperlukan untuk keluar ke ‘darat’ gelaran masyarakat seberang merujuk kepada Bandar Kuala Krai. Jika feri ini mengalami kerosakan, pengguna akan menggunakan perkhidmatan bot biasa. Pengangkutan air seperti bot pancung, perahu dan rakit buluh telah digunakan lebih 40 tahun yang lalu untuk ke Bandar Kuala Krai sebelum beroperasinya Feri Pasir Kelang.

Feri ini beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 11 malam sejak tahun 2012 lagi, kadar tambang untuk dewasa ialah RM1 manakala untuk kanak-kanak cuma 50 sen. Tambang bagi sebuah kereta ialah RM6 dan sebuah motorsikal ialah RM2. Kadar tambang ini amat berpatutan dan kekal tidak berubah sejak perkhidmatannya mula beroperasi dahulu. Feri ini berupaya mengangkut empat buah kereta dan 15 buah motorsikal untuk setiap perjalanan menyeberang sungai.

Pengguna Feri Pasir Kelang menunggu berlepas ke seberang

Pengguna Feri Pasir Kelang menunggu berlepas ke seberang

Menurut pengguna tetap feri, Saiful Bahari, 30, orang ramai menaruh harapan yang tinggi agar projek membina jambatan merentasi Sungai Kelantan ini menjadi kenyataan.

“Projek Jambatan Pasir Kelang yang telahpun diluluskan pembinaannya oleh kerajaan terdahulu perlu diteruskan. Ini untuk kesejahteraan, pembangunan seberang dan kemudahan rakyat secara keseluruhannya. Semoga impian menjadi kenyataan, penantian untuk melihat sebuah jambatan menghubungkan seberang dengan darat akan tercapai,” ujarnya kepada Malaysiaaktif.

-NAZ

Tinggalkan komen anda