Skip to main content
HomeJohor

Rezeki Terpijak Teluk Wawasan

By 27 Februari 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/foto: Mazlin Basir/Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Jika berkunjung ke Parit Haji Salam, Batu Pahat, tidak lengkap perjalanan jika tidak meneroka tempat-tempat menarik yang terdapat di sana seperti hutan paya bakau di Teluk Wawasan.

Kepentingan paya bakau terhadap keseimbangan ekosistem tidak dapat dinafikan dan fungsinya sebagai zon penampan serta pertahanan daripada hakisan air laut amat penting kepada penduduk setempat dan fauna di kawasan sekitar.

Menurut Penghulu Mukim Bagan, Mohamed Yusof Abu Bakar, hutan paya bakau berkeluasan lebih 10 ekar ini merupakan antara hutan paya yang tertua di Asia. Perkara ini dapat dilihat daripada struktur pokoknya yang agak besar dan banirnya semakin kelihatan.

“Mungkin dulu lumpurnya tinggi dan sekarang semakin lama semakin nampak dasar akarnya. Tetapi keindahan hutan paya bakau di sini boleh dikatakan masih terpelihara namun, jika tiada langkah pelestarian dilakukan tidak mustahil keunikan dan keindahan kawasan ini akan lenyap ditelan zaman akibat dari penerokaan hutan secara haram oleh individu yang tidak bertanggungjawab” katanya.

Struktur pokok dan akar hutan paya bakau

Struktur pokok dan akar hutan paya bakau

Tambah beliau, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membuat satu perancangan untuk menjalankan kajian di Teluk Wawasan. Kajian ini bakal menghimpunkan pelajar-pelajar dari luar negara khususnya daripada Indonesia.

“Di sini mereka boleh buat kajian tentang unggas, serangga, spesis burung, hidupan maritim dan sebagainya” ujarnya lagi selain mengkaji tentang paya bakau, kajian boleh diperluaskan lagi kepada bidang yang berlainan.

Selain itu, salah satu tarikan di Teluk Wawasan Parit Haji Salam ialah Pasar Nelayan yang berpangkalan di sini. Yusof Abu Bakar, 47,  merupakan pemilik pasar nelayan yang telah beroperasi selama 18 tahun berkata bekalan ikan diperolehi daripada pembelian ikan daripada nelayan-nelayan dari Parit Jawa, Minyak Beku dan Sungai Suloh. Pengunjung yang membeli ikan-ikan segar itu bukan sahaja dari penduduk tempatan malahan dari Kuala Lumpur dan Singapura.

Penghulu Mukim Bagan, Mohamed Yusof Bagan menerangkan hutan paya bakau Teluk Wawasan.

Penghulu Mukim Bagan, Mohamed Yusof Bagan menerangkan hutan paya bakau Teluk Wawasan.

Dengan peruntukan daripada Jabatan Perikanan Malaysia, beliau telah menerima bantuan sampan dan fasiliti khas untuk pasar nelayan Teluk Wawasan.

Pelbagai jenis ikan ditawarkan di pasar nelayan ini meskipun bukan dalam jumlah yang besar seperti di pasar borong namun, ia mampu memenuhi permintaan pelanggan yang datang kerana kesegarannya terjamin.

Menurut Alyssa Lee, 61, ikan yang dijual oleh Yusof sentiasa segar maka tidak hairanlah pelanggan dari Panchor, Batu Pahat ini sentiasa mendapatkan bekalan ikan-ikan segar di sini walaupun rumahnya berdekatan dengan pasar borong besar.

Rezeki para nelayan di sini juga bertambah dengan membuka gerai makan setelah ada permintaan dari pengunjung dan ianya semakin maju dan terkenal setelah perwartaan Teluk Wawasan sehingga menerima kunjungan pengunjung dari negeri lain dan Singapura.

‘‘Saya merupakan salah seorang nelayan yang mencari sumber pendapatan di laut bersama rakan-rakan nelayan, kami meneroka kawasan yang belum diterokai ketika itu iaitu Pangkalan Teluk Wawasan. Justeru itu, kami merasakan kawasan tersebut berpotensi untuk dibangunkan dengan membina kedai dan pangkalan perikanan bagi menambah pendapatan keluarga dengan mengeluarkan modal sendiri,’’ katanya.

Alyssa Lee, pengunjung Pasar Nelayan

Alyssa Lee, pengunjung Pasar Nelayan

Melalui Jabatan Persatuan Nelayan dan hasil kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Batu Pahat (JPS), dua jeti untuk kegunaan nelayan dapat dibina dan akan siap pada bulan Jun tahun ini.

Selain itu, keunikan Masjid Jamek Parit Haji Abd. Salam menarik perhatian pengunjung yang datang ke sini kerana masjidnya dikelilingi air seolah-olah terapung. Selain dikelilingi air, terdapat juga perkuburan disekelilingnya yang dijaga rapi. Menurut Penghulu Mukim Bagan, Mohamed Yusof Abu Bakar masjid ini merupakan satu-satunya masjid yang dikelilingi air.

Antara lain kemudahan yang disediakan di Teluk Wawasan ini ialah perkhidmatan Homestay yang murah. Perkhidmatan ditawarkan pastnya memenuhi cita rasa bagi mereka yang menginginkan sesuatu kelainan kerana seni bina homestay yang berkonsepkan kampung di sini mampu mengembalikan nostalgia kepada para pengunjung.

Pengunjung yang datang ke Teluk Wawasan Pt Hj Salam ini pastinya pulang membawa satu kenangan yang terindah dan menyeronokkan.

EM

Tinggalkan komen anda