Skip to main content
HomeJohor

Sosial Market Saya Beri Peluang Peniaga Tepi Jalan Berniaga Di Pasaraya Besar

By 23 Februari 2019Februari 25th, 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/Foto: Mohd Zahid Othman/Najib Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Sosial Market Saya ditubuhkan pada tahun 2015 dan sehingga kini telah berjaya mengumpulkan lebih 180 orang usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang aktif mengikuti setiap program yang dirancang dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor.

Pengasasnya, Noordiana Samudin, 40, berkata kebanyakan peniaga-peniaga kecil ini takut untuk berniaga di pasaraya kerana tidak mampu memenuhi syarat dan sewa yang ditetapkan selain perasaan malu ingin berkomunikasi dengan pelanggan.

“Objektif Sosial Market Saya adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada usahawan IKS menembusi pasaran di pasaraya-pasaraya besar di bandar dan berubah dari konsep meniaga tepi jalan kepada memasarkan produk mereka kepada pengunjung-pengunjung pasaraya yang lebih luas pasarannya.

Objektif Sosial Market Saya adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menembusi pasaran di pasaraya-pasaraya besar di bandar. - Noordiana Samudin

Objektif Sosial Market Saya adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menembusi pasaran di pasaraya-pasaraya besar di bandar. – Noordiana Samudin

“Selain itu, ada sesetengah produk seperti kuih tradisional yang tidak boleh terdedah kepada suhu panas cahaya matahari dan menerusi Sosial Market Saya, kami mengadakan perbincangan dengan pasaraya-pasaraya besar seperti Mydin Mall agar golongan ini boleh berniaga di dalam kawasan yang tertutup dan menjadi tumpuan orang ramai,” jelasnya.

Menurut Noordiana lagi, inisiatif penubuhan Sosial Market Saya juga adalah untuk menggalakkan usahawan IKS berniaga produk makanan dari resepi keluarga.

“Seperti makanan tradisional Cakar Ayam yang kebiasaannya hanya disediakan sebagai juadah Hari Raya, saya pasarkan ia sebagai makanan kudapan harian dengan nama baharu Cakar Emas agar lebih mudah dijual dan menarik perhatian pembeli,” katanya.

Melalui kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor, Noordiana yang berniaga sendiri sejak lima tahun lalu, turut diberi didikan dan bimbingan mengenai perbezaan antara seorang peniaga dan usahawan.

“Dahulu saya meniaga hanya tahu buka kedai pada waktu pagi dan tutup pada waktu malam tanpa sebarang ilmu pengetahuan mengenai perniagaan, berbeza dengan perniagaan berkonsep keusahawanan yang menitikberatkan kaedah pemasaran dan matlamat jangka panjang sesuatu produk,” jelas beliau.

Menurut Noordiana lagi, melalui pengalaman yang diperolehinya, beliau berkongsi ilmu dengan usahawan-usahawan dalam komuniti Sosial Market Saya mengenai kaedah untuk menembusi pasaran luar negara seperti di Singapura dengan cara pemasaran dan prosedur yang betul.

Rozita Abd Dullah, 44, seorang ibu tunggal, bersyukur mampu menyara tujuh orang anaknya melalui hasil pendapatan berniaga.

Rozita Abd Dullah, 44, seorang ibu tunggal, bersyukur mampu menyara tujuh orang anaknya melalui hasil pendapatan berniaga.

Salah seorang usahawan, Rozita Abd Dullah, 44, beliau memaklumkan bahawa baharu setahun mengikuti program bersama Sosial Market Saya selepas bergerak sendiri mengusahakan perniagaan kecilnya.

Berstatus ibu tunggal, Rozita mengetahui kewujudan gabungan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) ini menerusi sebaran maklumat di kumpulan Whatsapp di kawasannya dan terus berminat untuk mengembangkan perniagaan produk kesihatannya menerusi bimbingan dan program yang ditawarkan.

“Selepas kematian suami, saya sedar saya perlu memikul tanggungjawab menyara keluarga dan rasa bersyukur, melalui tunjuk ajar dan sokongan dari komuniti keusahawanan ini, saya mampu menanggung pengajian tiga anak saya di kolej,” jelasnya yang turut menyara empat lagi anak yang masih bersekolah.

Noor Nadrah Kadir, 36, berkata apabila suami beliau diberhentikan kerja, beliau dan suami mula mencari peluang menerusi perniagaan untuk meneruskan punca pendapatan.

Mempunyai kemahiran membuat kuih tradisional yang dipelajari dari keluarga, Nadrah menyedari kepentingan mempelajari teknik pemasaran perniagaan berbanding kaedah lama meletakkan produk jualan di kedai makan atau menerima tempahan dari rumah.

Selepas membuat carian di laman Facebook, beliau menyedari kewujudan inisiatif membantu usahawan wanita di Johor yang diusahakan oleh Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor.

Noor Nadrah Kadir (kiri), 36, menggunakan kemahiran membuat kek tradisional untuk dijual bagi membantu suami yang kehilangan pekerjaan.

Noor Nadrah Kadir (kiri), 36, menggunakan kemahiran membuat kek tradisional untuk dijual bagi membantu suami yang kehilangan pekerjaan.

“Dari situ saya mengenali pengasas Sosial Market Saya, Noordiana, dan terus dibantu untuk mendapat tempat berniaga dalam pasaraya seperti di Mydin Mall hari ini. Sewa yang dikenakan juga murah dan tidak membebankan usahawan kecil seperti saya,” katanya.

Himpunan usahawan wanita negeri Johor menerusi Sosial Market Saya ini ditemui ketika mereka menjayakan pameran produk keusahawanan IKS sempena program Pameran Kenegaraan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dan Mydin Mall Malaysia.

Orang ramai boleh mengunjungi tapak pameran mereka di Level Satu, Mydin Mall Mutiara Rini, Skudai sepanjang program berlangsung selama tiga hari sehingga 23 Februari ini.

EM

Tinggalkan komen anda