Skip to main content
HomeJohor

Seni Nyanyian Ekpreasikan Semangat Patriotisme

By 23 Februari 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto : Siti Nabila Bohari/Khairul Nizam Zanil ( Johor Bahru )

JOHOR BAHRU, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Saban tahun hari kemerdekaan tidak lengkap tanpa adanya lagu patriotik seperti Tanggal 31 yang mampu membakar semangat patriotisme dalam diri seluruh rakyat Malaysia. Lagu-lagu patriotik nampak mudah untuk dinyanyikan tetapi sebenarnya memerlukan penghayatan tinggi untuk membuatkan lagu tersebut menjadi istimewa.

Bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat, Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Mydin Malaysia menganjurkan program Pameran Kenegaraan dan Pertandingan Bintang Patriotik Mega 2019 Zon Selatan yang bertempat di Mydin Mall Mutiara Rini, Skudai.

Konsep pertandingan ini pula mewajibkan setiap pesertanya untuk menyanyikan sebuah lagu patriotik pada peringkat saringan sehingga ke pentas akhir. Bagi edisi kali ini, seramai 45 orang peserta telah menyertai saringan pertandingan yang berlangsung selama dua hari. Peringkat akhir berlangsung pada hari ini, 23 Februari 2019.

Salah seorang peserta Bintang Patriotik, Mazlin Abu Bakar, 37, memaklumkan beliau sememangnya meminati bidang nyanyian dan berpendapat menyanyikan lagu-lagu patriotik mempunyai cabarannya tersendiri.

Izz Haikal salah seorang peserta

Izz Haikal salah seorang peserta

“Lagu patriotik tidak mudah untuk disampaikan, ia memerlukan penjiwaan yang lahir dari dalam hati sebagai seorang rakyat Malaysia yang sangat cintakan negaranya,” katanya.

Bersyukur kerana dianugerahkan bakat dalam nyanyian, beliau sering menyertai pertandingan nyanyian untuk meningkatkan lagi mutu persembahan dan nyanyiannya.

Menariknya, beliau merupakan salah seorang peminat setia pertandingan Bintang Patriotik dan telah menyertai pertandingan ini sejak tahun 2010 lagi.

“Menerusi penyertaan dalam Bintang Patriotik inilah membuatkan saya terus meminati lagu-lagu patriotik dan setiap kali berlangsungnya pertandingan, saya akan turut ambil bahagian walaupun pertandingan dianjurkan di luar negeri Johor,” ujar beliau yang turut mengikuti perkembangan Bintang Patriotik melalui laman rasmi facebooknya.

Manakala bagi Iskandar Mairi, 28, menyanyikan lagu patriotik antara cara beliau mengekpresikan rasa kasih dan sayang kepada tanah air. Namun untuk menyanyikan lagu patriotik ini memerlukan beliau mendalami lagi teknik penghayatan dan penjiwaan lagu.

Abdul Rahman - Juri Pertandingan

Abdul Rahman – Juri Pertandingan

“Untuk menzahirkan lirik lagu melalui kata-kata sangat mudah, namun menzahirkan melalui jiwa perlukan pembelajaran dan semangat,” tegasnya.

Beliau juga merupakan peserta yang kerap mengulangi penyertaan dalam pertandingan ini dan telah menyertai Bintang Patriotik sebanyak tiga kali. Nama timangan Izz Haikhal juga mempunyai kisahnya tersendiri. Kisah sebenar yang terjadi ke atas dirinya menjadi pembakar semangat setiap kali beliau ingin menyertai pertandingan nyanyian.

Kisah ini berlaku beberapa tahun yang lepas apabila saya dihampiri oleh seorang wanita yang menganggap saya sebagai anaknya sendiri. “Rupa-rupanya, pada ketika itu beliau baharu sahaja seminggu kehilangan anak lelaki dan suaminya dalam sebuah kemalangan dan wajah arwah anaknya seiras dengan saya,” jelasnya sayu.

Sepanjang dua hari saringan diadakan, Bintang Patriotik Mega Zon Selatan turut menampilkan juri-juri yang mahir dalam seni nyanyian. Antaranya adalah Abdul Rahman, yang merupakan salah seorang anak murid Ahmad Jais, penyanyi terkenal dengan rentak Pop Yeh Yeh Ahmad Jais dan juri kedua pula adalah Penolong Pengarah Lakon Cawangan Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia, Besran Zulkifly, atau mudah dikenali sebagai Ann Ways.

Menurut Abdul Rahman, keseluruhan peserta yang menyertai peringkat saringan mempunyai bakat nyanyian dan mempunyai teknik tersendiri dalam penyampaian lagu patriotik sehinggakan sukar untuk membuat pilihan peserta yang bakal ke peringkat akhir.

Besran zulkifly @Ann Ways - Juri Pertandingan

Besran zulkifly @Ann Ways – Juri Pertandingan

Menurutnya lagi, menerusi pertandingan seumpama ini, lagu-lagu yang jarang didengari terutamanya lagu patriotik pada zaman dahulu dapat diperdengarkan semula kepada generasi baharu.

“Lagu pada zaman dahulu mempunyai bait kata dan bahasa yang sangat indah. Ini merupakan akar untuk memartabatkan lagu-lagu asli dan budaya Malaysia,” katanya.

Beliau berharap pertandingan seperti ini akan terus diadakan kerana ianya mampu mengetengahkan budaya dan warisan masyarakat Malaysia dan mendidik anak muda untuk lebih mengagungkan lagu-lagu dari Malaysia.

Majlis Perasmian Program Pameran dan Bintang Patriotik Mega 2019 dirasmikan oleh Exco Penerangan, Pembangunan, Keusahawanan Koperasi dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Hj Ibrahim bin Abdul Rahman.

EM

Tinggalkan komen anda