Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Linopot, Seni Kulinari Etnik Momogun Dusun Yang Tidak Dilupakan

By 23 Februari 2019Tiada komen5 minit bacaan
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

Ranau, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Jika di negeri pantai timur terkenal dengan nasi kerabu berwarna ungu, di Sabah juga punya nasi warna serupa dikenali sebagai linopot (nasi bungkus) .

Berbeza dengan nasi kerabu yang dihasilkan daripada warna bunga telang, Linopot pula ialah makanan tradisi etnik Momogun Dusun yang aslinya diperbuat daripada beras padi huma, sama ada nasi semata-mata atau ditumbuk dengan keladi, ubi kayu, labu manis atau keledek.

Sinalau Ayam dan Daging serta lada putih antara ramuan wajib dalam menu linopot.

Sinalau Ayam dan Daging serta lada putih antara ramuan wajib dalam menu linopot.

Nasi yang ingin ditumbuk pula mestilah ketika ia masih panas supaya mudah dicampurkan dan sebati dengan bahan-bahan yang dipilih.

Kemudian, nasi itu tadi dibungkus dengan daun, daunnya pula ada pelbagai jenis, namun yang paling tipikal ialah daun wonihan, punti (pisang), timadang (tarap), kobu, tintap, longkobung dan toropoi yang masing-masing punya aroma tersendiri.

Apa yang menariknya, makanan tradisi ini masih boleh dinikmati hingga kini dan juga dihasilkan secara fusion oleh seorang anak muda di restoran milik keluarganya, yang terletak di Kampung Cinta Mata, Kundasang.

 

Disiplin dan fokus sangat penting ketika berada di dapur.

Disiplin dan fokus sangat penting ketika berada di dapur.

Chef Abdul Hafiz Hanafi Patrick, 27, dipelawa menguruskan restoran tersebut oleh saudara mara yang mahukan generasi pelapis sendiri untuk meneruskan perniagaan keluarga.

“Ketika itu saya baru sahaja balik ke kampung ketika dipelawa, saya sebenarnya jarang balik memandangkan kerjaya sebagai chef di hotel membuatkan saya sukar untuk mengambil cuti.

“Jika dilihat, beberapa rumah inap yang terletak berhampiran dengan restoran ini adalah milik keluarga iaitu pakcik dan makcik saya, jadi restoran ini ialah cabang perniagaan mereka selain kebun sayur yang terletak di bahagian belakang.

Pembantunya sedang menyusun atur aksesori sampingan di dalam menu linopot.

Pembantunya sedang menyusun atur aksesori sampingan di dalam menu linopot.

“Dengan pengalaman yang saya ada dalam bidang ini, saya lihat tempat ini punya potensi yang besar untuk saya mulakan perniagaan, jadi saya pun bersetuju dengan pelawaan itu,” ujarnya.

Menurut Hafiz, jika ditinjau di sekitar kampung, rata-rata kedai makan yang sedia ada menawarkan menu masakan Cina dan memandangkan dia ingin mengelakkan persaingan dan mahukan kelainan, timbullah idea untuk menyediakan masakan tradisional Dusun.

“Pelanggan pertama saya pastinya ahli keluarga kerana saya perlukan pendapat mereka tentang keseluruhan hidangan dan mujur mereka suka.

Hafiz bersama Linopot Sinalau Daging

Hafiz bersama Linopot Sinalau Daging

“Penduduk tempatan juga memberikan maklum balas yang positif serta menasihati saya untuk sentiasa kekalkan kualiti dan rasa hidangan itu.

“Dalam hal ini tidak timbul soal merosakkan menu tradisi, malahan mereka bangga kerana saya membantu memperkenalkan makanan tradisi kepada orang luar,” ujar Hafiz.

Tambahnya setakat ini penerimaan orang luar terhadap linopot sangat memberangsangkan, namun setiap kali juga mereka perlu menjelaskan menu yang diingini pelanggan dan memberi mereka pilihan jika ingin menukarnya ke nasi biasa.

Lagi pula, dalam setiap set hidangan yang dimasak turut disertakan sambal tuhau dan buah bambangan yang tidak semua pelanggan boleh terima rasanya.

Namun pelanggan tidak perlu risau kerana menu yang ditawarkan sememangnya banyak pilihan mengikut cita rasa seperti linopot sinalau (salai) ayam, linopot sinalau daging, linopot ayam penyet dan linopot ikan masin.

Linopot Ayam Penyet

Linopot Ayam Penyet

Mengimbas semula di awal kerjayanya menurut Hafiz, dia sendiri tidak menyangka tindakannya untuk mempelajari bidang kulinari sekadar suka-suka menjadi satu obsesi yang akhirnya dijadikan kerjaya.

“Pada mulanya saya minat menggunting rambut, tetapi disebabkan tempat belajar itu majoriti perempuan, saya merasa malu.

Pilihan nasi putih bersama Ayam Penyet.

Pilihan nasi putih bersama Ayam Penyet.

“Kemudian untuk menghilangkan rasa bosan, saya belajar kulinari di sebuah kolej kulinari sehingga peringkat ke 3, dan mula bekerja pada usia 21 di sebuah restoran Itali.

“Selepas itu saya bekerja pula dengan warga Perancis, kerana asas masakan yang saya pelajari sebenarnya ialah makanan barat, dan selepas itu saya seterusnya bekerja di hotel-hotel sekitar Kota Kinabalu dengan jawatan terakhir sebagai chef de partie,”terang Hafiz.

Kebun sayur yang diusahakan oleh ahli keluarga Hafiz.

Kebun sayur yang diusahakan oleh ahli keluarga Hafiz.

Hafiz juga beruntung kerana hasil sayur-sayuran yang ditanam oleh ahli keluarganya di tanah warisan seluas beberapa ekar itulah menjadi sumbernya untuk dimasak dan dihidangkan kepada pelanggan di restoran.

Sehingga kini, dia mempunyai dua orang pembantu di dapur yang diterapkan dengan disiplin dan turut sama menjaga kebersihan yang sangat dititikberatkan oleh Hafiz.

Antara menu sarapan pagi di Restoran Selera Kebun.

Antara menu sarapan pagi unik.

“Selain kebersihan, seorang tukang masak yang baik juga perlu pandai mengawal mental kerana jika tidak, mereka akan cepat tertekan, sama ada disebabkan kurang tidur atau ketika tersilap menerima pesanan pelanggan.

“Kita risau jika mental tidak dapat dikawal, kerja atau hidangan yang dihasilkan akan menjadi tidak berkualiti.

“Niat saya dengan membuka perniagaan ini juga supaya pelanggan dapat merasai hidangan yang enak serta bersesuaian dengan nilai yang mereka bayar,” luahnya.

Dalam pada itu, salah seorang pelanggan, Ruby Osman, 46, mengakui baharu pertama kali mencuba linopot yang dimasak.

Ruby Othman

Ruby Othman

“Sebelum ini saya pernah makan linopot yang dijual di pekan, tetapi isinya hanya nasi dan ikan masin. Berbeza dengan yang dijual di sini, penuh dengan aksesori dan paduan warna yang menarik dan membangkitkan selera.

Pendapat Ruby, menyediakan hidangan tradisi seperti ini sememangnya satu usaha yang baik untuk memperkenalkan kepada kaum lain dan juga orang luar dari Sabah.

Kesesakan lalulintas merupakan pemandangan biasa dapat dilihat dari restorannya bukti Ranau sentiasa menjadi tumpuan pelancong.

Kesesakan lalulintas merupakan pemandangan biasa dapat dilihat dari restorannya bukti Ranau sentiasa menjadi tumpuan pelancong.

“Sebagai contoh di Long Pasia sendiri punya makanan tradisi Nasi Bungkus yang diperbuat daripada beras keladi yang disediakan oleh suku Lundayeh, dan saya tidak pernah merasanya bukan kerana dibuat oleh bukan Islam, tetapi saya sendiri tidak biasa dengan bahan-bahan yang digunakan.

“Tetapi hari ini pula, bila saya yakin restoran ini hak milik orang Islam dan juga menyediakan makanan tradisi, jadi kenapa tidak saya cuba untuk rasa.

Keadaan restoran yang sentiasa penuh dengan pelanggan.

Keadaan restoran yang sentiasa penuh dengan pelanggan.

“Ini memang satu usaha yang baik kerana jika orang luar suka menu ini, mereka akan cuba cari resepinya atau buat tempahan katering dan secara tidak langsung boleh meluaskan lagi pasaran dan menjadi sumber pendapatan masyarakat,” kata Ruby.

EM

Tinggalkan komen anda