Skip to main content
Home

Buntil, Tempe Besengek dan Ayam Engkong Memikat Hati

By 18 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Latifah Salleh dan Ezzaty Razimi (Muar)

MUAR, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Johor merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai suku kaum, antaranya suku kaum Jawa yang masih berpegang teguh dengan pelbagai adat resam dan juga juadah tradisional mereka.

Suku kaum Jawa Johor bukan sahaja mempunyai identiti tersendiri malahan masyarakat Jawa di negeri ini masih mengekalkan jati diri dari segi keistimewaan dan keunikan dalam masakan dan makanan harian.

Lauk pauk tradisional seperti Ayam Engkong, Iwak Lele Masak Kencur, Ayam Ungkep, Gantes, Keluban, Sambal Koret, Gesek, Tempe Besengek, Sayur Bobok, Rojak Bebek dan Buntil merupakan lauk pauk tradisional Jawa yang jarang ditemui di kedai-kedai makan pada kebiasaannya.

Penyediaan Ayam Engkong

Penyediaan Ayam Engkong

Ayam Engkong menjadi simbolik bagi masyarakat Jawa ketika majlis keraian dan kenduri kendara yang diadakan di sini. Engkong dalam bahasa jawa membawa maksud ‘muafakat’ yang mana hidangan ini merupakan antara hidangan utama dan istimewa dalam majlis keraian.

Ayam Engkong dimasak bersama bahan-bahan utama antaranya santan, serai, halia, ketumbar, jintan manis serta rempah ratus ini dikatakan lebih sedap jika menggunakan ayam kampung.

Kebiasaannya hidangan ini akan dihidangkan kepada golongan yang lebih berumur dan pemimpin masyarakat sebelum juadah itu diagihkan serta dikongsi bersama-sama yang lain.

Penyediaan lauk pauk tradisional jawa dilakukan secara muafakat oleh penduduk kampung

Penyediaan lauk pauk tradisional jawa dilakukan secara muafakat oleh penduduk kampung

Manakala Buntil pula adalah antara lauk pauk yang tergolong dalam juadah sampingan dan dimakan bersama nasi. Inti buntil diperbuat daripada kelapa parut, ikan bilis, bawang, cili padi serta garam.

Juadah ini digelar buntil kerana makanan ini diikat bersama intinya kemudian dibalut dengan daun keladi sebelum dikukus.

Di samping itu, Tempe Besengek juga merupakan antara lauk pauk kegemaran masyarakat Jawa ketika berkumpul bersama-sama keluarga. Tempe besengek secara dasarnya menggunakan ‘bumbu’ atau bahan yang lebih kurang sama seperti ayam ungkep tetapi hanya ditukarkan daripada ayam kepada tempe.

Buntil yang telah siap dikukus

Buntil yang telah siap dikukus

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berasa teruja dengan pelbagai jenis makanan tradisi masyarakat Jawa yang dihidangkankan ketika ditemui dalam majlis perasmian Program ‘Yok Mangan’, Bengkel Masakan dan Jamuan Lauk Pauk Tradisional Jawa Daerah Muar Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi DYMM Sultan Johor 2019.

“Seni dan budaya itu terlalu luas dan banyak perkara yang berkaitan termasuklah seni warisan seperti hari ini iaitu seni masakan tradisional yang dapat dibudayakan untuk diperkenalkan dan dipromosikan sehingga ia akan menjadi terkenal seterusnya menjadi antara menu makanan yang digemari ramai”, ujarnya.

Mohd Khuzzan Abu Bakar memberi ucapan perasmian Program Yok Mangan

Mohd Khuzzan Abu Bakar memberi ucapan perasmian Program Yok Mangan

Majlis turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Maharani, Hayati Bachok serta pegawai kerajaan negeri di sini.

EM

Tinggalkan komen anda