
Laporan/foto: Mohamed Hirsham Azmi/Pejabat Parlimen Tanjung Piai
KUKUP, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 90 orang penduduk di sekitar Parlimen Tanjung Piai telah dipilih bagi mengikuti kursus kemahiran anjuran Pejabat Parlimen Tanjung Piai di Kukup Golf Resort semalam.
Kursus yang berlangsung sepanjang hari itu menawarkan tiga kursus kemahiran yang berbeza antaranya adalah kursus membuat kuih tradisional, menggunting rambut muslimah dan membaiki enjin bot.
Menurut Ahli Parlimen Tanjung Piai, Md Farid Md Rafik, program ini merupakan salah satu inisiatif daripada beliau bagi memberikan bekalan pengetahuan dan kemahiran kepada masyarakat di kawasan tersebut khususnya kepada golongan yang memerlukan.
“Kita berusaha untuk membantu masyarakat di sekitar Parlimen Tanjung Piai bagi menghadapi cabaran yang mendatang terutamanya dari segi sosioekonomi, kerjaya dan sebagainya”, katanya
“Pembangunan dari segi fizikal yang begitu pesat ini sebenarnya secara tidak langsung akan menguntungkan penduduk di sini secara keseluruhannya. Namun pembangunan tersebut dilihat merugikan sekiranya penduduknya tersisih daripada mendapat manfaat pembangunan tersebut”, tambahnya lagi.
Peserta yang menghadiri kursus kerjaya ini diberikan peralatan dan kemudahan agar dapat dimanfaatkan oleh mereka bagi memantapkan lagi kemahiran seterusnya membina kerjaya dan pendapatan yang konsisten.
Selain itu, menurut salah seorang peserta kursus, Saidon Othman, 56, berkata beliau yang minat dalam bidang kulinari ini merasakan program seumpama ini wajar untuk diteruskan kerana dapat memberikan pengetahuan dan juga platform masyarakat tempatan untuk terus membina kerjaya sebagai seorang usahawan.
Tambahnya lagi, beliau yang merupakan salah seorang daripada 2 peserta lelaki tidak merasa kekok kerana proses pembelajaran yang seronok dan tenaga pengajar yang sentiasa membantu memberikan petua-petua yang bermanfaat sepanjang kelas berjalan.
Kursus percuma ini telah memberi impak positif kepada semua peserta kerana mereka dapat menambah ilmu baharu yang berguna kepada kehidupan seharian.
EM