Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Cuaca Panas Curah Rezeki Buat Penjaja

By 21 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Siti Meriam Mohamad/Zarihan Azib (Kelantan)

KOTA BHARU, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Fenomena cuaca panas yang melanda negara sejak dua minggu lepas telah membuka pintu rezeki menambahkan pendapatan terutamanya buat penjaja air di daerah ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia bacaan suhu maksimum di Kelantan adalah sekitar 34 darjah celsius.

Jualan Nazwan meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa kepada 150 gelas sehari.

Jualan Nazwan meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa kepada 150 gelas sehari.

Menurut penjaja air di sini, Nazwan Mamat, 39, semenjak cuaca panas berterusan jualan airnya meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa kepada 150 gelas sehari. Ini membantunya menambah pendapatan hingga mencecah RM350.

Air teh ais yang dijual RM2 hingga RM5 segelas perlu dibancuh tujuh balang besar sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya memulakan perniagaan pada tahun 2017 dengan modal wang simpanan sendiri berjumlah RM500.

“Setiap hari saya memulakan aktiviti jualan bermula pukul 10 pagi hingga lewat petang. Sebelum ini saya tidak pernah dapat meraih pendapatan sehari sebanyak ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Manakala Johan Abdul Ghani, 48, yang menjaja air di Jalan Telipot, di sini berkata enam tong air yang terdiri daripada air asam boi, milo, epal, jagung, cendol dan lemon pudina sentiasa habis awal daripada biasa sejak musim panas ini.

“Alhamdulillah, saya dapat menjual hampir 400 gelas air sehari berbanding kebiasaan yang hanya 200 gelas. Cuaca panas ini menyebabkan orang ramai lebih memilih air yang berais untuk menghilangkan dahaga berbanding air suam atau panas,” kata Johan.

Johan yang memulakan perniagaan bersama-sama keluarga sejak enam tahun lalu dengan bermodalkan RM10,000 hasil bantuan pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia dapat meraih pendapatan sehingga RM500 sehari sepanjang musim panas ini.

Seorang pelanggan Hazrin Ahmad, 31, berkata dia lebih memilih untuk membeli minuman berais dan sejuk kerana cepat menghilangkan dahaga sepanjang berulang alik melakukan kerja.

Merujuk kepada Siaran Media Jabatan Meteorologi baru-baru ini menyatakan bahawa keadaan cuaca panas yang dialami di kebanyakan kawasan di negara dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula hujung April berikutan bermulanya fasa peralihan monsun yang membawa lebih banyak taburan hujan ke seluruh negara.

-SH

Tinggalkan komen anda