Skip to main content
HomeJohor

Layar Bestari Tingkatkan Nilai Persaudaraan

By 21 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Mohd. Yusof Abd. Samad

TANGKAK, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Dewasa ini, Layar Bestari cukup sinonim dengan Jabatan Penerangan Malaysia yang mana dahulu dikenali sebagai wayang pacak.

Walaupun zaman telah berubah dan menjangkau beberapa abad namun Layar Bestari tetap mendapat sambutan dari pelbagai lapisan masyarakat.

Tayangan Layar Bestari telah diadakan di hadapan Medan Selera Taman Tangkak Jaya pada 18 Mac lalu yang mampu menarik minat masyarakat setempat untuk bersama-sama merasai kemeriahan menonton tayangan filem tanpa mengira kaum.

Pelbagai kaum membanjiri program yang dilaksanakan secara santai jelas memaparkan ikatan perpaduan serta keharmonian yang terjalin di negara ini.

ADUN Tangkak sedang menyampaikan ucapan semasa program berlangsung

ADUN Tangkak sedang menyampaikan ucapan semasa program berlangsung

Salah seorang pengunjung yang sempat ditemui, Nazri Omar menyatakan program ini mampu meningkatkan lagi kemesraan dan persefahaman antara kaum walaupun ia cuma menayangkan cerita namun nampak jelas hubungan baik tanpa mengambil kira kaum, agama mahupun fahaman politik.

“Bukan sahaja menonton tayangan tetapi saya turut mendapat maklumat dan pengetahuan sepanjang menghadiri program ini dan saya lihat penonton yang hadir mengambil peluang ini untuk berjumpa serta beramah mesra antara satu sama lain.

“Program ini juga merupakan peluang untuk pemimpin tempatan beramah mesra dengan masyarakat,” ujar salah seorang petugas dari Majlis Daerah Tangkak, Mazilan Ahmad Salah yang turut menyertai program sehingga tamat.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tangkak, Ee Chin Li dalam ucapannya turut menyatakan ini adalah satu platform yang baik bukan sahaja antara pemimpin dengan orang ramai malah dapat menggambarkan keharmonian dalam masyarakat.

“Walaupun kini wayang pacak kelihatan lebih moden bersesuaian dengan peredaran masa, namun matlamatnya tetap sama untuk menyampaikan maklumat secara santai dengan tayangan yang telah disediakan di samping turut mewujudkan hubungan lebih harmoni antara jabatan, orang ramai dan pemimpin tempatan.” tambahnya lagi.

Masyarakat setempat yang menyaksikan Layar Bestari

Masyarakat setempat yang menyaksikan Layar Bestari

Ee Chin Li berharap akan ada lagi program seperti ini diadakan kerana program ini mampu meningkatkan nilai persaudaraan berlainan bangsa dan menggambarkan keharmonian dalam kepelbagaian bangsa Malaysia.

EM

Tinggalkan komen anda