Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaWilayah Persekutuan

“Guru Cina itu Mamaku”

By 1 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Tugas seorang guru tidak hanya berakhir di dalam kelas malah adakalanya ke rumah sendiri.

Wong Lieat Hiong, atau Cikgu Wong merupakan individu hebat apabila bukan sahaja menjadi guru kepada anak muridnya di dalam kelas malah juga ibu kepada Fatin Nur Syahzanani Zakaria di rumah.

Biarpun berbeza agama dan bangsa, ini bukanlah penghalang bagi insan mulia ini untuk menjalankan tanggungjawabnya melebihi daripada apa yang sepatutnya diberikan.

“Ketika saya dihubungi oleh keluarga Fatin yang ketika itu telah berpindah ke negeri asalnya di Negeri Sembilan untuk menjaganya kerana tidak dapat menyesuaikan diri di sekolah baharunya serta mengalami kemurungan, saya tanpa berfikir panjang terus bersetuju.

“Biarpun mendapat tentangan daripada keluarga sendiri dan masyarakat setempat, saya yakin bahawa saya melakukan sesuatu perkara yang sepatutnya saya lakukan dan saya tidak pernah menyesal,” ujar anak jati Machang, Kelantan ini.

Aspek kewangan, pemakanan dan pendidikan langsung tidak menjadi isu buat Cikgu Wong dalam menjaga Fatin.

“Saya akan memastikan segala keperluan Fatin mencukupi termasuklah dengan membelikannya buku rujukan dan latihan. Soal makan, kami jarang makan di rumah dan boleh dikatakan hampir semua kedai makan di Kota Bharu telah kami kunjungi,” ujar ibu dua orang anak ini lagi.

Cikgu Wong berjanji akan terus menjadi inspirasi kepada guru-guru muda pada masa hadapan

Cikgu Wong berjanji akan terus menjadi inspirasi kepada guru-guru muda pada masa hadapan 

Cikgu Wong merupakan antara 25 orang pemenang Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonalds 2018 yang diraikan dalam majlis pelancaran AGI 2019, di sini hari ini.

Wong juga seorang insan yang cukup prihatin terhadap kehidupan seorang Muslim apabila turut menyediakan bilik khas untuk Fatin beribadat dan belajar.

“Setiap malam saya akan membantunya mengulangkaji pelajaran dan sentiasa memberi sokongan kepadanya agar tidak mudah berputus asa.

“Sejak Fatin selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu dan tidak lagi tinggal bersama, kami tetap berhubungan seperti biasa,” tambahnya.

Cikgu Wong berharap agar kisahnya ini dapat menjadi inspirasi kepada insan lain terutamanya guru-guru muda untuk terus menjadi sumber ilham kepada pelajar-pelajar mereka.

-SH

Tinggalkan komen anda