Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Larangan Merokok Sarawak; Berkuatkuasa Hari Ini

By 1 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

KUCHING 1 Mac  (Malaysiaaktif) – Kempen Larangan Merokok di semua premis makanan bagi negeri Sarawak mula berkuatkuasa mulai 1 Mac 2019. Larangan merokok ini adalah sejajar dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah menguatkuasa larangan merokok di semua restoran dan premis makanan seluruh negara berkuatkuasa 1 Januari 2019. 

Bagi negeri Sarawak, ‘kick off’ simbolik kempen larangan merokok bagi tujuan publisiti dijalankan di kawasan Lebuh Carpenter oleh Dr Kelvin Yii, ahli Parlimen P195 Bandar Kuching bersama YB Wong King Wei,  ADUN N9 Padungan dengan Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak. Kempen ini dimulakan di  kedai makan Lau Ya Keng Food Court.

Dr Kelvin, Wong King Wei, Ajes Tuah dan Chang Sin Chow menunjukkan tanda bagus selepas selesai menampai papan tanda ‘Larangan Merokok’ di kedai makan Lau Ya Keng Food Court

Dr Kelvin, Wong King Wei, Ajes Tuah dan Chang Sin Chow menunjukkan tanda bagus selepas selesai menampai papan tanda ‘Larangan Merokok’ di kedai makan Lau Ya Keng Food Court

Bagaimanapun peringkat awal selama enam bulan pelaksanaan larangan merokok  di semua premis makanan memfokus kepada pendidikan. Tiada kompaun dikenakan tetapi perokok dinasihatkan untuk mematuhi arahan dan peraturan yang dikuatkuasakan.

Kempen anjuran JaPen Sarawak bersama wakil rakyat ini adalah untuk mendidik pemilik premis makanan dan pelanggan agar mereka mematuhi larangan yang telah dikuatkuasa.  Kempen ini juga adalah sebahagian daripada publisiti bagi menguar-uarkan maklumat kepada masyarakat berkenaan dengan larangan tersebut. 

Dr Kelvin bertemu dengan pelanggan kedai sambal memaklumkan tujuan kempen larangan merokok.

Dr Kelvin bertemu dengan pelanggan kedai sambal memaklumkan tujuan kempen larangan merokok.

Selain daripada kedai makan Lau Ya Keng Food Court, beberapa buah kedai makan di sekitar Lebuh Carpenter turut ditampal dengan poster oleh kedua-dua wakil rakyat tersebut. Mereka turut memaklumkan kepada pelanggan agar mematuhi arahan tersebut. 

Kempen ini bertujuan untuk melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok serta membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan masyarakat dengan menghadkan kawasan yang dibenarkan merokok terutama di kawasan tumpuan orang awam.

Ia turut meliputi semua gerai  makan dan kenderaan bergerak yang menyediakan kemudahan meja dan kerusi untuk makan dan minum serta semua restoran yang berada di atas kapal dan keretapi

Semasa ditemuramah, Chang Sin Chow, pemilik kedai makan Lau Ya Keng Food Court menyatakan larangan ini adalah tepat dan sesuai kerana alam sekitar di kawasan tempat makan akan terpelihara.

“Dulu kedai ini ada menjual rokok tetapi semenjak awal Januari kami tidak lagi menjual untuk mengelak pelanggan merokok di kedai saya. Saya amat menyokong serta bersetuju dengan peraturan ini,” ujar beliau

Peraturan larangan merokok ini adalah terpakai di semua premis dan tempat makan sama ada berhawa dingin dan tidak berhawa dingin, termasuk di dalam dan luar bangunan kawasan kedai makan, restoran dan juga medan selera. 

Bagi Ellis Banda dan Cythia Banda pemilik Pinggai Restoran,  mereka amat bersetuju dengan peraturan larangan merokok serta penguatkuasaan di semua premis makanan. 

“Sepatutnya larangan ini telah lama dilaksanakan,” saran Dr. Ellis Banda yang juga berkelulusan dalam bidang perubatan dari sebuah universiti di Ukraine. 

“Premis makan kami ini  berhawa dingin, mesra kanak-kanak serta mementingkan kebersihan. Tindakan kerajaan adalah tepat sekali bagi memastikan alam sekitar di kawasan premis makanan sentiasa terpelihara,” tegas Cynthia Banda. 

Dr Kelvin  berharap penguatkuasaan kempen larangan merokok ini akan memberikan impak positif terutamanya dari segi kesihatan umum masyarakat di Sarawak serta di seluruh negara. Beliau juga berharap rakyat Sarawak memahami tujuan kerajaan menguatkuasakan peraturan ini. 

 

Tinggalkan komen anda