Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaWilayah Persekutuan

AGI 2019 Kembali Beri Penghargaan Kepada Guru

By 1 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s kali ini dengan kerjasama Kementerian Pendidikan kembali lagi buat kali ketiga bagi memberi pengiktirafan kepada guru-guru yang melaksanakan tanggungjawab mereka melebihi tugas- tugas hakiki mendidik pelajar.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik, berkata bahawa anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf kerja keras guru, malah komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan untuk memberi yang terbaik melangkaui pembelajaran di dalam kelas.

“Guru-guru ibarat obor hemah yakni penerang di kala kegelapan, penunjuk di dalam kegelapan. Begitu besar sumbangan mereka kepada pembangunan dan kejayaan negara pada hari ini.

“Tidak akan terbentuknya negara pada hari ini tanpa insan bernama guru, dan perubahan yang kita dambakan guru-gurulah tonggak kemenjadiannya,” ucapnya merasmikan majlis tersebut, di sini siang tadi.

Maszlee (kiri) bersama-sama Azmir ketika melancarkan gimik perasmian

Maszlee (kiri) bersama-sama Azmir ketika melancarkan gimik perasmian

Maszlee turut berharap agar dengan adanya anugerah sebegini, para pendidik mendapat motivasi dan dorongan agar melakukan yang terbaik dan mendapat sokongan daripada setiap lapisan masyarakat.

“Sama ada di dalam mahupun di luar kelas, saya berharap agar anggota masyarakat dapat menghargai jasa yang ditaburkan oleh guru dalam mewujudkan impak positif jangka panjang kepada para pelajar,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar, AGI adalah usaha sempena hari guru dalam meraikan tugas- tugas guru yang berjaya memberikan inspirasi kepada pelajar.

“AGI dilaksanakan secara khusus untuk warga pendidik yang berdedikasi dalam mendidik generasi muda, dan pada masa sama membina asas yang kukuh untuk negara maju pada masa hadapan.

“Kami menyasarkan 10,000 pencalonan untuk tahun ini dan mengajak orang ramai untuk mencalonkan guru-guru yang berjaya memberi inspirasi kepada mereka di laman sesawang rasmi www.mcdonalds.com.my mulai hari ini hingga hujung 31 Mac 2019,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda