Skip to main content
Berita TempatanHomePulau Pinang

‘Hawk’ Mampu Pertahan Kedaulatan Ruang Udara Negara

By 4 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Nurazreen Bt Abd Rahman (Seberang Perai Utara)

BUTTERWORTH, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Kejayaan OPS Daulat pada Mac 2013 yang melibatkan 5 buah pesawat Hawk dalam operasi di Lahad Datu membuktikan kemampuan dan teknologi pesawat berkenaan masih  relevan dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara. Itu antara kejayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam misi mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman anasir luar. 

Menurut Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang, “Pesawat Hawk masih lagi berkeupayaan walaupun telah menjangkau usia 25 tahun dan pihak  TUDM masih merancang untuk menggunakan Hawk bagi tempoh 10 tahun lagi ,” katanya selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Jubli Perak Pesawat Hawk di Hangar No. 15 Skuadron  di Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini.

Upacara pertukaran badge kepada Komander PU Butterworth Brig Jen Amer Mahmud bin Abdul Rahman TUDM.

Upacara pertukaran badge kepada Komander PU Butterworth Brig Jen Amer Mahmud bin Abdul Rahman TUDM.

Menurut beliau,” Memang ada keperluan untuk menambah jumlah pesawat namun ianya bergantung kepada sumber kewangan negara.  Pesawat Hawk ini mampu kekal 10 tahun lagi dengan beberapa penambahbaikan, terutama dalam sistem dan teknologi yang lebih terkini. 

“Kini hanya tinggal 19 buah pesawat Hawk yang masih beroperasi iaitu 8 buah pesawat Hawk di Skuadron 15 dan 11 buah di Skuadron 9” , katanya lagi. 

Terdahulu, beliau tiba di pangkalan udara di sini, dengan menaiki Pesawat Hawk 108 dari pengkalan udara Subang, Selangor yang diterbangkan oleh  Pegawai Memerintah No 6 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohammad Syagol Abd Hamid, pada jam 11 pagi tadi. 

Panglima TUDM bersama staf Pangkalan Udara Butterworth

Panglima TUDM bersama staf Pangkalan Udara Butterworth

Sejarah perkhidmatan pesawat Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) bermula pada 15 April 1994 setelah menerima 2 buah pesawat melalui Memorandum Of Understanding (MOU) antara kerajaan Malaysia dan kerajaan United Kingdom yang dimeterai pada 10 Disember 1990. 

Kerajaan Malaysia telah bersetuju dan menerima secara berperingkat Pesawat Hawk 108 sebanyak 10 buah dan Pesawat Hawk 208 sebanyak 18 buah dan menjadikan jumlah keseluruhan 28 buah pesawat. 

Pesawat Hawk ini telah dioperasikan  oleh tiga buah skuadron iaitu No 6 Skuadron, No 9 Skuadron dan No 15 Skuadron sepanjang 25 tahun. Selepas insiden OPS Daulat, Skuadron 6 yang ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan telah dipindahkan ke Pangkalan Udara Labuan bagi merealisasikan hasrat kerajaan Malaysia untuk menjaga kepentingan dan kedaulatan tanahair di Sabah dan Sarawak. 

Sidang Media oleh Panglima TUDM

Sidang Media oleh Panglima TUDM

Selain itu pesawat ini juga digunakan sebagai pesawat latihan lanjutan bagi kursus peralihan pesawat pejuang yang dioperasikan oleh Skuadron 15 di Pangkalan Udara Butterworth di mana juruterbang-juruterbang muda dilatih untuk menjadi seorang juruterbang pesawat penjuang sebelum melayakkan mereka untuk mengendalikan pesawat-pesawat penjuang lain dalam TUDM. 

Sambutan Ulang Tahun Jubli Perak Pesawat Hawk di sini hari ini diserikan lagi dengan pertunjukan udara oleh 4 buah pesawat yang  mempamerkan kehebatan pesawat serta ketangkasan dan kecekapan juruterbang dalam mengendalikan pesawat berkenaan. 

Ini membuktikan visi dan misi  Skuadron Hawk dalam TUDM untuk menjadi sebuah skuadron yang efisien dan sentiasa bersiap siaga dalam mempertahankan kedaulatan negara melalui operasi serangan yang strategik dan pertahanan udara yang berkesan sebagai sebahagian dari kuasa udara yang dominan di rantau ini. 

Sementara itu empat pesawat Hawk turut dijadualkan terlibat dalam persembahan udara di Langkawi sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 2019) yang dijangka berlangsung pada 26 hingga 30 Mac ini.

 

Tinggalkan komen anda